Seorang penyokong Perak cedera di kepala apabila bas yang membawa penyokong pasukan bola sepak itu dibaling dengan objek besi di Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) berdekatan Machap, Johor.
Mohamad Aiman Shafiq Norha, 18, menerima 15 jahitan di dahi kanan selepas terkena objek besi sepanjang 0.5 meter seberat kira-kira dua kilogram yang dibaling dari sebuah kereta.
Beliau kini dirawat di Hospital Melaka dan sudah membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Melaka.
Wakil penyokong, Arfaeez Abd Rahman, 25, berkata tiga bas yang membawa 118 penyokong pasukan Perak berlepas dari Stadium Larkin, Johor untuk pulang ke Ipoh kira-kira pukul 12.30 tengah malam turut mengalami kerosakan akibat perbuatan itu.
Beliau berkata dalam perjalanan itu, bas telah dibaling dengan objek seperti batu dan kayu daripada kumpulan individu yang menaiki kereta serta motosikal yang seolah-olah menanti di setiap persimpangan lebuh raya.
Berasa dukacita
"Sebaik tiba di persimpangan Machap, satu daripada besi yang dibaling itu terkena cermin hadapan bas dan masuk sehingga terkena seorang penyokong menyebabkan rakan kami yang sedang tidur mengalami kecederaan di bahagian kepala.
"Kami kemudian terpaksa meminta bantuan anggota polis untuk mengiringi kami sebelum memberhentikan bas di tepi lebuh raya bagi membolehkan ambulans membawa mangsa ke hospital," katanya pada sidang media di Stadium Perak di Ipoh hari ini.
Sementara itu, Setiausaha Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA) Abdul Aziz Yeop Jamaluddin berkata pihaknya dukacita dengan insiden itu dan akan mengemukakan aduan kepada FAM.
Beliau berkata FAM perlu menyelesaikan masalah itu yang sudah lama berlaku bagi mengelak kejadian tidak diingini berulang.
Pengusaha bas Rhino Airiel, Mohd Rashidi Abd Rahim berkata syarikatnya menanggung kerugian mencecah puluhan ribu ringgit ekoran tindakan penyokong yang sering melakukan kerosakan terhadap bas apabila tidak berpuas hati dengan keputusan perlawanan.
"Ini menyebabkan kita rugi besar dan saya harap pihak FAM mampu menyelesaikan masalah ini kerana kita cuma mahu membantu membawa penyokong ke stadium untuk menyaksikan perlawanan bola secara langsung," katanya.
- Bernama
