Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Sukan

Johor Darul Ta'zim (JDT) bagai disuntik 'semangat buaya'‎ dan tidak mengecewakan penyokongnya apabila menang dengan begitu meyakinkan membenam Perak 4-1 malam ini.

Bertarung di gelanggang sendiri di Larkin, JDT memang ditentang sengit oleh Bos Gaurus namun apa sangatlah seladang di kandang harimau yang mendapat semangat buaya.

Kemenangan itu sekali gus meletakkan JDT kembali ke puncak Liga Super apabila tuah kurang memihak kepada pesaing terdekat mereka - Pahang - yang seri dengan KL Felda United.

Anak buah Mario Gomez ( gambar ) itu kini - secara perbandingan - lebih selesa berbanding sebelum ini apabila dipisahkan dua mata dengan Pahang.

Ketika Tok Gajah mengumpul 44 mata, JDT pula memperoleh 46 dengan kedua-dua pasukan hanya menunggu satu perlawanan terakhir Sabtu ini.

Chanthuru ganti Safee

Pada separuh masa pertama JDT dan Perak mempamerkan rentak seimbang apabila masing-masing menjaga benteng pertahanan dengan baik.

Keadaan berterusan begitu sehinggalah Luciano Feguerao menyempurnakan sepakan percuma di penghujung separuh masa pertama untuk memecah kebuntuan gol.

Mekanisme taktikal JDT berubah memasuki babak kedua dengan corak lebih pantas dan disuntik dengan jaringan cantik dari luar petak penalti oleh Nazrin Nawi pada minit ke- 48.

‎Kemasukan S Chanthuru menggantikan penyerang Safee Sali menjadikan corak permainan JDT lebih pantas terutama di posisi tengah dan serangan.

Walaupun diancam dengan gol Perak selepas itu, JDT tetap menunjukkan semangat melawan dan dibuktikan dengan dua gol dihasilkan oleh Chanturu dan kapten Safiq Rahim.

Kemenangan itu dijangka dapat melenyapkan duka kekalahan 1 - 4 kepada Kelantan pada perlawanan sebelumnya.

DI Stadium Darul Makmur pula anak buah Zainal Abidin Hassan sekadar seri 2 -2 dengan KL Felda United.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS