Manchester City ikat Otamendi
Manuel Pellegrini mengumumkan kelabnya kini memiliki "pemain pertahanan terbaik La Liga" selepas mereka melengkapkan perpindahan pemain pertahanan Valencia, Nicolas Otamendi ke Manchaster City.
Otamendi - sering dikaitkan dengan kelab Manchester United dan Real Madrid sebelum ini - diumumkan sebagai pemain baru kelima City selepas lulus ujian perubatan dan kecergasan Manchaster semalam.
"Nicolas Otamendi antara pemain pertahanan yang terbaik dalam La Liga musim lalu.
"Dia pemain bertaraf dunia dan saya tidak meragui keupayaannya. Otamendi memiliki segala kualiti untuk berjaya dalam Liga Perdana Inggeris," kata Pellegrini.
Pengurus berasal dari Chile itu menyatakan, dia gembira dapat menambah pemain berkualiti seperti Otamendi dalam skuadnya.
Sementara itu Otamendi dalam laman web City berkata, dia berazam memberikan yang terbaik kepada kelab barunya.
"Saya akan cuba membawa City memenangi sebanyak mungkin kejuaraan," katanya.
Otamendi membuat 25 penampilan untuk skuad kebangsaan Argentina dan menjaringkan enam gol sepanjang 35 kali bermain untuk Valencia.
Dia akan bersaing untuk merebut tempat dalam kesebelasan utama bersama rakan sepasukannya, Demichelis, Mangala dan kapten pasukan Vincent Kompany.
City sebelum ini telah membawa masuk Raheem Sterling dari Liverpool, Fabian Delph dari Aston Villa dan Patrick Roberts dari Fulham dan kini masih lagi berunding untuk mendapatkan khidmat Kevin de Bruyne dari Wolfsburg.

