Maka layaklah bergembira bangsa Johor apabila pasukan JDT mengekalkan kejuaraan Liga Super 2015 walaupun tewas 1 - 2 kepada KL Felda United pada perlawanan terakhir, sebentar tadi.

Bagai tuah bergolek, aksi di Stadium Selayang memperlihatkan JDT tetap boleh berpesta walaupun kalah, dan pada masa sama musuh terdekatnya - Pahang - turut tewas 1 - 3 kepada Terengganu.

Dengan itu JDT mengumpul 46 mata berbanding 44 untuk Pahang.

Perlawanan JDT - KL Felda United memperlihatkan seolah-olah Pahang bakal melonjak ke tempat teratas apabila Harimau Selatan itu ketinggalan 0 -1 seawal minit keempat.

Empat minit kemudian bala seakan menimpa JDT lagi apabila Junior Eldstal dibuang padang kerana mengasari pemain Felda dalam kotak penalti.

Insiden itu memberi peluang kepada Felda menambah jaringan kedua ‎melalui sepakan penalti disempurnakan Indra Putra Mahyudin.

Pada masa sama kedudukan di Kuala Terengganu ketika itu masih buntu kerana kedua-dua pasukan belum memperoleh sebarang gol.

Jika keadaan itu kekal begitu, Pahang bolehlah berbangga menjadi juara bagaikan pelari yang membuat pecutan di selekoh terakhir.

Namun takdir adalah takdir.

Misi digagalkan Penyu

Berbekal 10 pemain, JDT tidak berdaya untuk bangkit melawan pada perlawanan terakhirnya dan sekadar memperolehi gol melalui sepakan penalti Luciano Figueroa.

Oleh kerana "bola itu bulat" dan "padang itu rata", ternyata nasib menyebelahi JDT apabila Pahang tidak mengambil peluang yang terbuka.

Misi skuad Tok Gajah mengulangi sejarah kejuaraan edisi pertama Liga Super 2004 digagalkan skuad Penyu sekali gus Zainal Abidin Hassan terpaksa berpuas hati di tangga kedua liga.

Keputusan lain pula menyaksikan Selangor kekal di tangga ketiga liga selepas menewaskan Perak 2-0 di Stadium Ipoh dengan 39 mata.

Terengganu pula menamatkan saingan musim ini di tempat keempat dengan kutipan 38 mata.

Nasib malang pula menimpa dua pasukan iaitu ATM dan Sime Darby apabila terkeluar daripada saingan liga apabila menduduki tanga tercorot masing-masing 11 dan 10 mata sepanjang musim.

Nasib adalah kesunyian untuk Tok Gajah.