Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Sukan

Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) diminta mengkaji semula penyertaan pasukan bola sepak Singapura ke sebarang kejuaraan di Malaysia.

Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan, Tan Sri Annuar Musa berpendapat penyertaan kelab Singapura tidak memberi kelebihan kepada pasukan tempatan.

"Saya nampak agak berat sebelah, Malaysia tak dapat banyak kelebihan daripada liga di Singapura kerana liganya kecil dan tidak kompetetif.

"Singapura juga sepatutnya menghantar Young Lions, tetapi mereka tidak hantar. Mereka hantar pasukan campuran yang nampak ke arah membina pasukan kebangsan mereka," katanya ketika menghadiri majlis makan malam amal dan tayangan perdana filem 'Jejak Warriors'.

MP Ketereh berkata keadaan tersebut tidak sama dengan perancangan awal yang dibuat oleh FAM termasuk membuat kajian dan penelitian mendalam demi kebaikan bola sepak negara,

Katanya lagi, FAM perlu melihat semula untung rugi penyertaan Singapura tetapi terpulang kepada ahli majlis FAM untuk menentukan.

"Konsep asalnya adalah Young Lions bermain di sini dan kita punya pasukan Harimau Muda bersaing di sana. Tetapi atas pelbagai alasan Singapura menghantar pasukan yang bukan pasukan muda.

"Itu menjadikan mereka cukup kompetetif kerana pasukan yang datang adalah pasukan kebangsaan Singapura.

"Jadi tidak adil kepada pasukan tempatan kerana kita terpaksa bermain dalam padang yang berlainan dan kita kena (travel) pergi Singapura misalnya.

"Bagaimanapun itu pendapat Kelantan, saya fikir elok FAM dapatkan juga pandangan daripada pasukan-pasukan lain," katanya.

Pasukan Lions XII mula beraksi di Liga Malaysia pada 2012 dan dinobatkan sebagai juara Liga Super 2013 dan menjulang trofi Piala FA tahun ini.

Bagaimanapun, penyertaan mereka dalam saingan di Malaysia musim depan (2016) masih menjadi teka-teki.

Sebelum ini Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah dilaporkan berkata, kehadiran Lions XII di Liga Malaysia pada 2016 masih di peringkat rundingan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS