Aaron Ramsey berkata, sebahagian besar pemain profesional mahu sukan bola sepak mencontohi prosedur pertandingan ragbi dengan menggunakan teknologi video untuk membantu pengadil membuat keputusan.

Ramsey memang berhak berkata begitu.

Dalam perlawanan Arsenal menentang Liverpool awal pagi semalam, hak The Gunners memperoleh tiga mata penuh dinafikan apabila penjaga garisan, Simon Bennett, mendakwa Ramsey melakukan ofsaid ketika berlari mendapatkan bola umpanan Santi Cazorla.

Mengakui meminati ragbi, Ramsey - pemain kebangsaan Wales - berkata dia tidak faham mengapa sukan bolan sepak enggan menggunakan kemudahan teknologi dengan lebih banyak.

Ditanya jika kebanyakan pemain mahu teknologi video dimanfaatkan untuk membuat keputusan ofsaid dan gol, Ramsey berkata, ia terbukti berfaedah untuk ragbi.

Thought I'd got off the mark last night. What do you all think about video technology in football. Yes or no? pic.twitter.com/Ab3sBvJxyD

— Aaron Ramsey (@aaronramsey) August 25, 2015

"Pengadil mengambil masa selama 20 saat untuk meneliti rakaman video dan membuat keputusan tepat. Bola sepak boleh belajar sesuatu daripada sukan ragbi," katanya.

Mengenai insiden di Stadium Emirates semalam, Ramsey berkata, dia berasa membuat gerakan dengan baik untuk melepasi perangkap ofsaid pertahanan Liverpool.

"Tetapi penjaga garisan mengangkat bendera.

"Semakan semula rakaman video menunjukkan saya tidak ofsaid," katanya.

Dengan empat mata daripada tiga perlawanan Arsene Wenger menganggap permulaan musim Arsenal sebagai "sangat sederhana" namun Ramsey percaya berlaku peningkatan sejak kelab itu kalah dalam perlawanan pertama mereka menentang West Ham United.

Ramsey juga tidak bimbang dengan jurang lima mata memisahkan The Gunners dengan pendahulu liga, Manchester City.