Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Dari restoran mamak, saya cuba menghubungi beberapa rakan pada tengah malam tadi tetapi semuanya berakhir dengan kecewa.

Daripada sekian banyak panggilan telefon dibuat, hampir tiada yang menjawab panggilan telefon saya. Deringan berakhir dengan suara meminta saya meninggalkan pesanan di peti suara.

Sebahagian lagi pula langsung tidak dapat dihubungi taliannya.

Seorang rakan kemudian memujuk saya dengan berkata, kemungkinan rakan yang cuba saya hubungi itu berada di dalam gua.

Maklumlah, bukannya mudah untuk berdepan kutukan. Bagi penyokong kelab yang angkuh, kekalahan kepada pasukan yang entah apa-apa sangat mengaibkan.

Lebih tidak mudah apabila kutukan itu memang tidak dapat dijawab waima sepatah perkataan pun - kecuali mengungkit sejarah silam yang klise.

Saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) baru memasuki hari perlawanan keempat. Walaupun masih amat awal dan pramatang, keputusan setakat ini boleh dikatakan adalah bayangan pasukan paling berpotensi untuk menjadi juara.

Hanya satu pasukan, setakat ini. Harap-harap Siti Merah Manja boleh memahami realiti ini.

Semua hambar

Untuk pengetahuan ramai, The Gunners belum lagi mencapai tahap terbaik mereka. Sementara tiba detik itu, peminat Arsenal memang perlu banyak menahan sabar apabila diperolok-olokkan kerana tewas dalam pertarungan pertama.

Untuk pasukan yang pernah mencatat rekod tidak pernah kalah sepanjang musim, tewas dalam perlawanan pembukaan - ketika ada 37 perlawanan berbaki - bukanlah masalah terlalu besar.

Tambahan pula selepas kalah kepada West Ham, Arsenal menunjukkan peningkatan yang baik dan sangat menjanjikan, manakala dua pasukan lain yang kebetulan berjersi merah pada minggu ini semuanya hambar tersungkur.

Turut tersembam ialah kelab yang kononnya istimewa sangat itu.

Arsenal memang terkenal dengan identitinya yang mementingkan persembahan menarik, menawan dan menggoda di atas padang.

"Gol derma," kata seorang penyokong Liverpool yang berniat serong mahu memperkecilkan kejayaan The Gunners mengatasi Newcastle semalam.

Tak ada apa-apa yang boleh dinafikan tentang itu. Memang Arsenal memperoleh gol tunggal hasil jaringan sendiri kapten The Magpies , iaitu Fabricio Coloccini.

Cuma pembenci Arsenal perlu faham dan menelan hakikat, 'gol derma' untuk Arsenal itu pun dijaringkan dengan amat cantik.

Mungkin selepas ini saya akan cuba menghubungi rakan-rakan penyokong The Reds dan The Red Devils . Harap-harap mereka tidak berebut-rebut dan bersesak-sesak di dalam gua sana.

Kalau masih berebut-rebut, saya akan cadangkan kepada mereka - termasuk Siti Merah Manja - supaya bertenang. Kawasan lombong tinggal masih ada.


WIRA KELANA seorang eksekutif syarikat swasta di Lembah Kelang yang pernah menjadi pemain bola sepak pada zaman sekolah menengah dan universiti.

Lihat Komen
ADS