Adebayor tunggu 'kata dari Tuhan'
Tottenham Hotspur memang terdesak mahu mengetepikan Emmanuel Adebayor. Ia memang boleh difahami jika mengambil kira gajinya - £100,000 (RM644,251 seminggu) - yang perlu ditanggung mengikut kontrak ditandatangani.
Namun di pihak Adebayor, Spurs adalah kelabnya - setakat ini - sehinggalah dia mendapat 'hidayah' daripada Tuhan.
Media melaporkan, Adebayor membuat keputusan itu selepas bertemu dengan guru agamanya.
Daily Telegraph mendakwa, Adebayor bukan saja menuntut pampasan besar daripada Spurs jika kelab itu mahu menjualnya, malah menolak tawaran daripada Aston Villa yang berminat kepadanya.
Portal berita itu melaporkan, Adebayor hanya akan meninggalkan Spurs jika semua gajinya dibayar penuh mengikut tempoh kontrak dan ia menyebabkan kelab itu kehilangan kira-kira £5 juta (RM32.2 juta).
Menjelang detik akhir tempoh perpindahan pemain di Eropah, Adebayor dipercayai bersetuju untuk menandatangani dokumen menamatkan kontrak dengan Spurs tetapi menukar fikiran tidak lama kemudian.
Kebuntuan itu bermakna, walaupun Spurs dan Adebayor mencapai persetujuan menamatkan kontrak selepas ini, pemain antarabangsa Togo itu tidak boleh beraksi dengan kelab lain sehingga sekurang-kurangnya Januari tahun depan.
Adebayor, 31, 'diperam' sepenuhnya di White Hart Lane musim ini dan dipaksa berlatih dengan kelab bawah 21 tahun.
Pengurus Mauricio Pochettino menjelaskan, tiada lagi tempat untuk bekas pemain Arsenal dan Manchester City itu di Spurs.

