Timbalan Presiden FAM, Datuk Seri Apandi Hamzah memberi reaksi terkejut berhubung pengumuman Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah yang akan meletak jawatan sebagai presiden badan induk bola sepak negara itu.
Ketika dihubungi Malaysiakini, Afandi berkata beliau tidak tahu menahu mengenai perkara itu.
"Saya pun tak tahu lagi berita ini. Saya tak dapat nak ulas mengenainya," kata Apandi.
Ditanya kemungkinan tindakan Tengku Abdullah itu dipengaruhi oleh desakan mana-mana pihak beliau bagaimanapun enggan mengulas lanjut.
"Saya pun terkejut dengan berita ini, memang saya tak tahu kalau awak (wartawan) tak telefon. Nantilah saya semak dahulu," jelas beliau.
Terdahulu, Tengku Abdullah mengumumkan akan melepaskan jawatan presiden FAM susulan prestasi buruk Harimau Malaya selepas tewas 0-10 kepada Emiriah Arab Bersatu (UAE).
Bagaimanapun beliau, menyatakan persediaan (letak jawatan) tersebut akan dilakukan secara “berperingkat-peringkat”.
Pengumuman kedua
Jurulatih kebangsaan Dollah Salleh telah pun meletakkan jawatan selepas kekalahan teruk dan memalukan itu.
Pengumuman itu kali kedua dibuat baginda yang juga Tengku Mahkota Pahang selepas pengumuman pertama sebelum ini.
Jun lalu, Tengku Abdullah berkata beliau pengunduran baginda dari FAM itu mungkin akan dibuat sekiranya prestasi Harimau Malaysia tidak dapat diperbaiki.
Ini berikutan baginda menetapkan Malaysia layak beraksi ke Piala Asia 2019 sebagai petunjuk prestasi utama (KPI) peribadinya.
Susulan kekalahan teruk Harimau Malaya kepada UAE Khamis lalu, peminat bola sepak tempatan menghentam FAM sebagai penyebab kemerosotan pasukan negara.
Antaranya, Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ) Tunku Ismail Sultan Ibrahim turut tampil membuat kritikan pedas kepada FAM.
Tengku Mahkota Johor (TMJ) secara sinis berkata, PBNJ bersedia membantu FAM mencari bajet bagi mendapatkan khidmat jurulatih luar.
