Tindakan Presiden FAM yang akan meletak jawatan beliau sebagai peneraju badan induk bola sepak negara dipuji Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan, Tan Sri Annuar Musa.

Annuar berkata, tindakan Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah itu tindakan yang cukup gentleman (budiman).

Bagaimanapun katanya, Tengku Mahkota Pahang (TMP) itu tidak seharusnya dipersalahkan.

"FAM itu collective , peletakan jawatan presiden akan meletakkan FAM lebih parah dan lebih lemah.

"Yang penting ialah tindakan untuk memperbaiki, TMP banyak berjasa kepada bola sepak Malaysia dan antarabangsa," kata Annuar dalam Facebook beliau.

Annuar berharap, Tengku Abdullah berfikir dengan mendalam dan lebih jauh mengenai hasrat tersebut.

"Apa jua yang dilakukan biarlah ke arah kemajuan bola sepak Malaysia," jelasnya.

Tengku Abdullah semalam menyatakan hasrat untuk melepaskan jawatannya sebagai Presiden FAM kepada individu lain yang lebih layak, dan ia akan dilakukan secara “berperingkat”.

Baginda berkata, keputusan itu diambil berikutan kekalahan memalukan skuad negara 10-0 kepada Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada pusingan kelayakan Piala Dunia 2018/Piala Asia 2019 di Abu Dhabi, Khamis lalu.