Selepas 'kena pelempang 10 kali ' kepada Emiriah Arab Bersatu (UAE), mampukah Harimau Malaya bangkit mengaum - atau sekurang-kurangnya mempertahankan gawang (baca: maruah) negara daripada dirobek Arab Saudi?
Jika keadaan menjadi lebih buruk, berapa banyak pula gol yang bakal 'didermakan' lelaki-lelaki Arab itu buat Malaysia.
Tapi itulah - derma tak mengapa. Yang penting, bukan rasuah.
Kalau merujuk rekod sepanjang kempen kelayakan Piala Dunia 2018 dan Piala Asia 2019 berlangsung, anak buah Bert van Marwijk itu agak cemerlang.
Sebelum beraksi di Stadium Shah Alam, mereka sudah menjinakkan Palestin dengan keputusan 3-2.
Mereka juga mencatatkan kemenangan besar 7-0 membelasah Timor Leste ketika Malaysia tewas 0-10 kepada UAE, Khamis lalu.
Bayangkan, rekod Harimau Malaya yang kini dibimbing pengendali sementara Datuk Ong Kim Swee sekadar seri dengan Timor Leste dan dibelasah 0-6 oleh Palestin sebelum ini.
Sebaliknya, Timor Leste hanya tewas 0-1 kepada UAE.
Sudah disuntik motivasi
Mungkinkah nasib skuad kebangsaan di tangan Arab Saudi berulang seperti pertemuan dengan UAE. Kalau di atas kertas nampak begitulah.
Bagaimanapun, seperti kata Kim Swee, tiada yang mustahil dan mereka optimis untuk melakar kemenangan di Stadium Shah Alam, malam ini.
Daripada pemain yang disenaraikan bekas jurulatih Dollah Salleh, hanya lima pertukaran pemain dibuat oleh Kim Swee. Merit tinggi menanti beliau sekiranya percaturan perlawanan malam ini menjadi, atau sekurang-kurangnya ada aksi melawan.
Selain latihan rutin, barisan pemain juga sudah disuntik dengan semangat baru dan menghadiri sesi motivasi yang disampaikan penolong pengurus pasukan, Datuk Satim Diman.
Maka besar harapan mereka untuk mendapat sokongan moral di kalangan penyokong. Bersediakah rakyat Malaysia turun beramai-ramai ke stadium untuk memberi sokongan padu kepada pasukan negara?
Kita lihat saja siapa akan 'derma' siapa malam ini.
