Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Susulan kejadian rusuhan dan kekecohan di Stadium Shah Alam malam tadi, polis menahan 11 individu disyaki terlibat dalam insiden tersebut sehingga memaksa perlawanan bola sepak antara Malaysia dan Arab Saudi dihentikan serta-merta.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Shafien Mamat berkata, kesemua mereka ditahan kira-kira setengah jam selepas kejadian berlaku walaupun ada cubaan melarikan diri.

Menurut beliau, polis mengesan kumpulan ada kira-kira 200 hingga 300 orang menggelar diri mereka sebagai Ultras Malaya dalam stadium.

"Mereka ditahan ketika sedang bergerak untuk melarikan diri, namun polis mengenalpasti dan bertindak menahan mereka.

"Semua 11 suspek ini berusia antara 19 hingga 36 tahun termasuk sebahagian daripadanya penuntut pusat mengajian tinggi," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontijen Selangor di Shah Alam, hari ini.

Shafien berkata, melalui rakaman gambar pihaknya sedang mengesan suspek lain yang masih bebas.

Seksyen 147 Kanun Keseksaan

"Kumpulan ini kita dalam pemerhatian polis sebaik mereka masuk ke stadium‎. Kalau dilihat melalui pergerakan mereka ini masuk di hujung perlawanan.

"Kita telah melakukan pemeriksaan rapi di pintu masuk‎ untuk pastikan mereka tak bawa barang larangan. Polis mengesyaki bahan seperti mercun dan bom asap itu dibawa masuk lebih awal atau dengan cara lain," katanya.

Semua individu terbabit direman selama tiga hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh.

Tambah Shafien, beliau akan mengadakan perjumpaan bersama pihak yang bertanggungjawab terhadap ‎stadium dan perlawanan tersebut esok.

Selain itu menurut beliau, pihaknya juga tidak menolak kemungkinan untuk mengambil keterangan di kalangan penjual di stadium.

"Ini kerana mereka (penjual) tidak masuk ke stadium melalui pintu yang digunakan penonton. Perkara ini juga yang perlu diberi perhatian oleh pihak stadium.

"Saya juga menasihati kumpulan penyokong yang terlibat dalam insiden itu supaya menyerah diri kepada pihak polis untuk membantu siasatan," katanya.

Sementara itu, dua daripada individu ‎yang ditahan mempunyai rekod kesalahan lampau berkait kes curi.

"Siasatan lanjut terhadap mereka sedang dijalankan, manakala motif kejadian‎ belum dikenalpasti," jelas beliau.

Pada aksi kelayakan Piala Dunia 2018 dan Piala Asia 2019 tersebut, skuad Harimau Malaysia ketinggalan 1-2 kepada Arab Saudi.

Polis turut merampas 11 jenis telefon bimbit milik suspek berikutan komunikasi untuk mencetuskan kejadian tersebut dipercayai ‎dibuat melalui WhatsApp dan sistem pesanan singkas (SMS).

Selain itu Shafien berkata, pihaknya turut merampas sebutir bom asap yang belum sempat digunakan.

Lihat Komen
ADS