Kafa tak kisah
Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) bersedia untuk menjual mana-mana pemainnya jika ada pasukan lain yang berminat.
"Saya tak ada masalah. Saya lebih daripada suka kalau ada orang (lain) nak beli pemain Kelantan.
"Bola sepak adalah membeli dan menjual pemain," kata presidennya, Tan Sri Annuar Musa, yang menyusuli kenyataan itu dengan ketawa.
Annuar yang juga Pengerusi MARA ditemui media di Kuala Lumpur selepas menghabiskan masa beberapa jam melawat Yayasan Pelajaran MARA tengah hari tadi.
Tambah beliau, Kafa tidak menghalang pemain untuk berhijrah ke mana-mana pasukan lain, termasuk di kalangan mereka yang masih dalam kontrak.
"Jadi kalau ada pemain Kelantan yang dalam kontrak nak keluar dan ada pasukan lain nak beli, saya rela menjualnya," kata Annuar.
Kelantan pernah menjadi pasukan gergasi dan digeruni lawan pada suatu ketika dulu, namun pada musim terbaru The Red Warriors itu hanya berada di kedudukan kesembilan.
Daripada 22 perlawanan, mereka hanya mencatat lapan kemenangan, empat seri dan selebihnya kalah.
Menjelang musim perpindahan, kedengaran ura-ura beberapa pemain Kelantan bakal meninggalkan pasukan itu.
The Red Warriors juga terpalit dengan isu tunggakan gaji pemain selama dua bulan yang gagal dilunaskan Kafa.
Bagaimanapun, Annuar dilaporkan akan mengambil tindakan segera bagi menyelesaikan perkara itu.

