FAM bercadang akan mengadap Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar dalam waktu terdekat bagi membincangkan kemelut melanda badan induk bola sepak negara.

Timbalan presidennya, Datuk Seri Afandi Hamzah berkata, FAM akan menghantar surat rasmi kepada Khairy berhubung cadangan pertemuan tersebut untuk mendapatkan waktu sesuai.

"Pertemuan ini bagi membincangkan masalah yang sedang berlaku dan meminta nasihat daripada beliau.

"Kami harap pertemuan itu nanti dapat menyelesaikan sebarang masalah yang ada serta penyelesaian yang diperlukan, sebab kita tahu menteri bagaikan bapa kepada persatuan sukan.

"Kita boleh dapatkan nasihat dan penjelasan," katanya pada sidang media di Wisma FAM di Kelana Jaya, hari ini.

Afandi berkata, buat masa sekarang FAM tidak akan membuat sebarang kenyataan balas terhadap kritikan yang dilemparkan kepada mereka.

Ia termasuk kenyataan Khairy yang menyifatkan sukan bola sepak negara semakin parah susulan prestasi buruk Harimau Malaya yang diaibkan 0 - 10 ketika menentang Emiriah Arab Bersatu pada 3 September lalu.

Tempoh 14 hari

"Buat masa sekarang kami tak perlulah bagi komen balas terhadap kritikan dan kenyataan yang dibuat.

"Perjumpaan dengan beliau (menteri) dapat membincangkan banyak perkara berbanding berbalas kenyataan di media yang akhirnya tak ke mana," katanya.

Terdahulu Khairy mengarahkan Pesuruhjaya Sukan menghantar surat tunjuk sebab kepada FAM ekoran insiden di Stadium Shah Alam pada 8 September lalu.

FAM diberi tempoh 14 hari untuk menjawab surat berkenaan.

Tindakan Khairy itu turut membawa risiko penggantungan FAM oleh Fifa.

Sementara itu, Afandi menjelaskan FAM akan menjawab surat tunjuk sebab yang dihantar oleh Pesuruhjaya Sukan Datuk Zaiton Othman bertarikh 9 September bagi menjelaskan kejadian ketika Malaysia menentang Arab Saudi sempena Kelayakan Piala Dunia 2018 dan Piala Asia 2019.

"FAM juga menerima surat daripada Fifa yang meminta penjelasan berhubung insiden yang berlaku," katanya.