Keberatan tapi rela melepaskan. Dan tempoh yang diminta adalah setahun.
Itu mesej terkandung dalam kenyataan dikeluarkan FAM mengenai status presiden mereka, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah petang ini.
Melalui kenyataan itu, Tengku Abdullah dipetik berkata keputusan meletak jawatan dibuat pada 7 September lalu adalah salah satu keputusan paling sukar dibuatnya sebagai pegawai bola sepak.
"Ia tidak mudah kerana saya terpaksa meletak jawatan sebelum aspirasi dan impian saya untuk bola sepak Malaysia dipenuhi.
"Bagaimanapun rentetan kekalahan yang memalukan pasukan kebangsaan, adalah terlalu besar bagi saya untuk mengekalkan kedudukan saya sebagai pemimpin. Malang sekali, kecekapan kami dinilai oleh kejayaan atau kegagalan pasukan kebangsaan," kata Tengku Abdullah.
Perkara terakhir mahu dibuat
Menurut Tengku Mahkota Pahang itu, perkara berkenaan mungkin kelihatan seperti tidak adil namun ini adalah realiti yang dihadapi FAM kini.
"Saya terpaksa menerimanya dengan hati yang terbuka. Ini bukan kali pertama saya bercakap mengenai peletakan jawatan, kerana pada 10 Julai yang lalu saya secara khusus memaklumkan kepada jawatankuasa eksekutif saya bahawa saya akan meletak jawatan jika Malaysia tidak layak ke pusingan akhir Piala Asia di UAE 2019.
"Ini adalah salah satu daripada unsur-unsur KPI yang saya telah tetapkan untuk diri sendiri. Namun, kekalahan baru-baru ini terlalu mengecewakan dan memaksa saya untuk mempercepatkan perletakan jawatan ini," jelas beliau.
Menurut Tengku Abdullah, walaupun ada pihak mahukan peletakan jawatan itu dibuat serta-merta, beliau mempunyai kewajipan profesional untuk meninggalkan FAM selepas sekurang-kurangnya meletakkan ia pada kedudukan dihormati.
"Perkara terakhir yang saya tidak mahu adalah untuk pengganti saya mewarisi kapal yang sedang tenggelam di mana situasi itu akan menjadikan saya dilihat sebagai seorang tidak adil dan tidak profesional.
"Justeru, saya dipaksa oleh etika profesional saya untuk membetulkan keadaan sebelum saya berundur. Tetapi yakinlah, walaupun tempoh saya menjadi presiden tamat pada 2018, saya melihat diri saya menyerahkan tugasan kepada timbalan presiden Datuk Seri Afandi (Hamzah) dan ahli jawatankuasa dalam tempoh setahun ini," katanya.
