Jose Mourinho mungkin lebih lunak dan mesra sejak kembali ke Chelsea pada 2013 tetapi kini The Special One itu akan kembali bengis seperti selalu.

Semuanya kerana prestasi kelab itu yang mencatatkan rekod terburuk di awal musim sejak 29 tahun lalu.

Media England melaporkan kini semua pemain dan pegawai teknikal The Blues diharamkan bergurau atau memperolok-olokkan skuad berkenaan.

Memetik sumber kanan Chelsea, kelab itu memang belum mengadakan mesyuarat pengurusan krisis selepas kalah memalukan kepada Everton tetapi mereka cukup sedar memiliki empat mata daripada lima perlawanan adalah bala.

Kelab itu juga menafikan berlaku pertengkaran antara kapten John Terry dengan penyerang Diego Costa dan menganggap khabar berkenaan sebagai "mengarut".

Apa yang pasti Mourinho melarang pemainnya bercakap sesuka hati - termasuk membebel terhadap prestasi pasukan mereka.

Semua orang terdesak

Suasana muram dan mendung di Pusat Latihan Cobham juga nampaknya tidak akan cuba diceriakan.

Kata sumber, sejak kembali ke Stamford Bridge pada 2013 lalu Mourinho dan pemainnya memang lebih banyak berjenaka.

"Kini semuanya terhenti kerana semua orang terdesak mencari jawapan kepada prestasi semasa The Blues ," katanya.

Lebih menekan, sebelum kelab berdepan Arsenal pada Sabtu mereka terlebih dulu perlu melayan kelab Israel, Maccabi Tel Aviv dalam saingan Liga Juara-juara esok.

Mourinho dilaporkan sedang mempertimbangkan beberapa perubahan menjelang kunjungan mereka ke Tel Aviv.

Ramalannya ialah Oscar kembali menjadi kesebelasan utama dengan jersi nombor 10, selain Willian, Radamel Falcao dan Loic Remy diberi ruang membuktikan kemampuan masing-masing.

Di sebalik perencanaan itu, Mourinho juga dikatakan pening dengan empat pemain 'besar' yang setakat ini gagal menyinar - Eden Hazard, Branislav Ivanovic, Diego Costa dan Cesc Fabregas.