Begitu hari pertama pertandingan Liga Juara-juara berlangsung semalam dan awal pagi tadi, tetapi yang benar-benar menonjol - setakat ini - ialah Cristiano Ronaldo.

Pemain kebangsaan Portugal itu melakukan jaringan hatrik ketika Real Madrid membenam Shakhtar Donetsk awal pagi semalam.

Ia semakin mengukuhkan lagi nama Ronaldo sebagai penjaring hebat dalam pertandingan yang mempertemukan juara liga negara Eropah. Setakat ini dia sudah menjaringkan 80 gol dalam Liga Juara-juara.

Pencabar terdekatnya ialah Lionel Messi yang kekurangan tiga gol berbanding Ronaldo.

Berikut adalah beberapa fakta menarik setakat ini:

Kecederaan Luke Shaw adalah bala kepada Man United - Dengan kaki yang patah Shaw terpaksa dikeluarkan dan Louis van Gaal tiada pilihan kecuali merombak pertahanannya. Ia membolehkan pasukan PSV Eindhoven membolosi gawang The Red Devils dua kali.

Rapuhnya Man City - The Citizens mungkin gah dengan barisan pemain bertaraf bintang di Liga Perdana Inggeris namun ujian sebenar mereka adalah lingkungan Eropah. Di Stadium Etihad pemain Manuel Pellegrini terkulai kepada Juventus 1 - 2. Walaupun bermain dengan baik namun tidak cukup untuk mengekang kelicikan anak buah Massimiliano Allegri.

Pada masa sama kemenangan kelab Sevilla ke atas Borussia Monchengladbach mengundang tekanan serta-merta terhadap The Citizens . Man City hanya perlukan satu lagi kekecewaan untuk meranapkan keegoan mereka kali ini.

Perkiraan atas kertas tetap di atas kertas - Kekalahan mengejut Arsenal kepada Dinamo Zagreb menafikan keampuhan The Gunners kali ini. Ketika mereka perlukan kemenangan sebagai langkah strategik bagi mengelak bertembung dengan pasukan besar di peringkat kalah mati, Arsenal tumpas awal - kepada kelab Croatia dengan jaringan 1 - 2.

Keputusan kumpulan F itu juga membuka ruang lebih lancar kepada satu lagi pasukan pilihan, untuk Bayern Munich yang menang mudah 3 - 0 mengatasi Olympiacos.

Bersedia untuk lebih banyak aksi menarik - Jaringan jarak jauh pemain Roma, Alessandro Florenzi hanya permulaan. Dari jarak kira-kira 65 meter dia membuat tendangan lambung membuat Marc-Andre ter Stegen ( gambar ) terlopong.

Ada yang berkata posisi penjaga gol Barcelona dari Jerman itu tersilap, tetapi tiada siapa peduli ketika yang lebih penting dinikmati adalah seni bola sepak yang dipamerkan. Dan gol itu menafikan Barcelona daripada mendapat tiga mata penuh apabila mereka seri 1 - 1.

Jalan berliku untuk kelab EPL - Daripada empat pasukan yang bertanding pada musim kali ini, hanya Chelsea yang boleh tersenyum lebar apabila membenam kelab Israel, Macca Tel Aviv 4 - 0. Ia suatu kelegaan - bukan saja kepada Jose Mourinho, malah kepada penyokong mereka yang kini diperolokkan sebagai " penghuni gua ". Selebihnya terpaksa berduka - Man United kalah kepada PSV Eindhoven, Man City diaibkan Juventus dan The Gunners tunduk kepada Dinamo Zagreb.