Pemain Kelantan perlu mengetepikan masalah membelenggu mereka terutama berkaitan tunggakan gaji dan memberi fokus sepenuhnya pada perlawanan Piala Malaysia menentang Felda United di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV di sini, malam ini.
Pemangku jurulatih Kelantan Zahasmi Ismail berkata perlawanan itu penting jika pemain mahu membawa pulang Piala Malaysia ke negeri berkenaan tahun ini.
"Pemain perlu memberikan tumpuan kepada perlawanan kerana Felda United sebuah pasukan yang kuat dalam liga tempatan.
"Pemain tidak seharusnya hilang fokus dalam perlawanan walaupun ada beberapa masalah melanda pasukan ketika ini," katanya ketika dihubungi Bernama Khamis.
The Red Warriors (TRW) kini berdepan detik sukar apabila pengurusan pasukan itu didakwa gagal membayar gaji pemainnya sejak bulan lepas.
Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan Tan Sri Annuar Musa dipetik sebagai berkata beliau akan membuat pinjaman bank sebanyak RM2 juta bagi melunaskan gaji pemain yang tertunggak.
Dalam pada itu, Zahasmi turut menagih sokongan penyokong terutama ketika TRW beraksi di laman sendiri.
"Ia penting kerana dengan sokongan padu peminat, pemain akan dapat mengekalkan momentum mereka, sekali gus menghadiahkan kemenangan kepada penyokong," katanya.
- Bernama
