EPL paling getir di Eropah
Di sebalik prestasi kurang memberangsangkan kelab Liga Perdana Inggeris (EPL) dalam saingan liga Eropah, Pengurus Tottenham Hotspur mungkin ada jawapannya.
Bagi Mauricio Pochettino jadual liga yang amat kompetitif memberi kesan besar kepada pemain kelab EPL sehingga kemampuan mereka beraksi berdepan kelab Eropah terjejas.
Katanya, keadaan itu tidak dialami kelab lain yang bersaing dalam Liga Juara-juara atau Liga Europa.
"Mereka (pemain kelab liga lain) boleh berehat pada minggu sebelum perlawanan Eropah bermula. Pemain terbabit ada masa untuk pulih daripada kepenatan," katanya.
Kenyataan itu dibuat menjelang perlawanan Spurs menentang kelab juara liga Azerbaijan, Qarabag.
Teruk terdera sebelum turun
Terdahulu Pochettino menyaksikan semua kelab empat teratas EPL - kecuali Chelsea - tumpas kepada lawan pertama masing-masing.
Dalam perlawanan awal pagi tadi pula, Spurs mengatasi Qarabag 3 - 1.
Kata pengurus asal Argentina itu, sebelum turun padang, Manchester City misalnya, berdepan laluan getir untuk mengalahkan Crystal Palace, manakala Manchester United pula bergelut menghadapi Liverpool.
"Ia bukan saingan mudah di EPL. Justeru anda terdera teruk ketika turun bermain untuk kelab Eropah," katanya.
Bagi Spurs sendiri mereka melalui jalan sukar sebelum menghadapi Qarabag kerana di gelanggang tempatan mereka terpaksa melayan Sunderland dan Crystal Palace terlebih awal.
"Tidak pernah ada laluan mudah seperti liga di Sepanyol atau Itali.
"Jurang antara kelab di EPL sentiasa rapat dan anda tidak boleh tercicir sebarang mata. Keadaan berbeza di liga lain kerana antara pasukan atas dan bawah, mereka dipisahkan mata agak besar," katanya.
Namun di sebalik kegetiran itu Pochettino yakin saingan EPL adalah yang terbaik.
"Ia sempurna. Ia adalah persaingan paling mencabar di dunia," katanya.

