Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Sukan
Boateng untuk 'harimau'?
Diterbitkan:  Sep 20, 2015 7:46 PM
Dikemaskini: 11:53 AM

Bekas ketua pasukan Kelantan, George Boateng dilaporkan berminat untuk mengurus pasukan kebangsaan.

Pernah bersama dengan skuad Kijang selama dua musim, tidak pasti sama ada Boateng - kini dilaporkan berada di Kuala Lumpur atas urusan peribadi - sedang menguruskan perkara berkenaan atau sebaliknya.

Menurut Canberratimes , FAM mengiklankan kekosongan jawatan ketua jurulatih skuad senior dan jurulatih skuad bawah 23 tahun.

Keputusan mengenai pelantikan itu akan diumumkan sekitar Disember nanti.

Dalam temubual bersama ESPN FC baru-baru ini, Boateng menunjukkan minat untuk mengurus pasukan kebangsaan yang kini menghadapi krisis keyakinan peminat ekoran persembahan tidak memberangsangkan.

"Saya tidak akan membawa pendekatan sama untuk pasukan kebangsaan, dan bukannya formasi 4-4-2, yang begitu mudah untuk diatasi lawan," katanya.

Boateng turut memberitahu wartawan, melalui gabungan pemain muda pemilihan taktik yang lebih fleksibel dan semangat juang yang tinggi pasukan Harimau Malaya masih boleh diselamatkan.

Gandingan baru, lama

Malah dia - yang pernah dilatih Louis van Gaal dalam skuad kebangsaan Belanda - percaya kedudukan skuad negara dalam ranking dunia boleh dipertingkatkan.

Kedudukan negara kini di tangga ke-169 dan dianggap posisi kedua paling teruk dalam sejarah.

"Pasukan Malaysia di tahap paling rendah dan kini adalah masa untuk membuat perubahan dengan membawa masuk jurulatih asing dengan idea-idea baru.

"Pasukan kebangsaan perlu dibina semula dengan gandingan pemain baru untuk tempoh tiga hingga empat tahun akan datang. Suasana yang betul perlu diwujudkan," katanya.

Pada 5 September lepas, skuad senior negara di letakkan di bawah bimbingan Datuk Ong Kim Swee selepas jurulatih sebenar, Dollah Salleh melepaskan jawatannya ekoran kekalahan teruk 0 - 10 kepada Emiriah Arab Bersatu.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS