Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Sukan
Costa sah bersalah
Diterbitkan:  Sep 22, 2015 4:21 PM
Dikemaskini: 8:31 AM

Gara-gara provokasi keterlaluan dan keji ketika menentang Arsenal Sabtu lalu, Diego Costa mungkin dilarang bermain untuk tiga perlawanan.

Tindakan bakal diambil selepas Persatuan Bola Sepak (FA) England mengemukakan tuduhan rasmi ke atas pemain kelahiran Brazil itu. Melalui dakwaan itu Costa dituduh mengasari muka Laurent Koscielny dalam perlawanan berkesudahan Chelsea menang 2 - 0.

Pertahanan Arsenal Gabriel Paulista pula dituduh berkelakuan tidak wajar kerana menendang Costa.

Pada masa sama The Gunners mengemukakan aduan kepada FA England, iaitu mempertikaikan penyingkiran Gabriel dan menganggapnya keterlaluan.

Costa, 26, dan Gabriel, 24, adalah pemain bola sepak profesional yang lahir di Brazil namun nasib mereka tidak sama.

Ketika Gabriel dipilih menjadi pemain kebangsaan Brazil, Costa pula kini bermain untuk skuad kebangsaan Sepanyol.

Arsenal dan Chelsea pula didakwa gagal mengawal baran pemain masing-masing.

Mourinho tentu berang lagi

Di sebalik dakwaan itu pengadil Mike Dean kekal tidak terusik walaupun prestasinya di Stamford Bridge dipertikaikan, malah dia akan ditugaskan mengelolakan perlawanan West Ham dan and Norwich hujung minggu ini.

Dean mengeluarkan kad kuning terhadap Costa kerana menolak Koscielny namun jika dilihat semula insiden itu , pemain Chelsea berkenaan sepatutnya diberikan kad merah.

Costa diberi tempoh sehingga jam 6 petang Selasa (waktu tempatan) untuk memberikan penjelasan kepada panel tiga pengadil bebas yang menilai insiden itu melalui rakaman video.

Panel penilai sebulat suara mendapati Costa bersalah.

Jika larangan tiga perlawanan dikenakan, Jose Mourinho akan kehilangan Costa untuk Piala Capital One menentang Walsall pada malam Rabu dan saingan EPL menentang Newcastle dan Southampton.

Ketika Chelsea enggan memberikan komen, Mourinho pasti berang kerana salah satu jentera serangan harapannya tidak dapat dimanfaatkan.

Perlu diingatkan, pada musim lalu Costa juga digantung kerana sengaja memijak kaki pemain Liverpool, Emre Can.

Kemarahan terhadap Costa bukanlah disengajakan.

Selepas perlawanan berakhir seorang lagi pemain Chelsea, Kurt Zouma sendiri memberikan komen yang rasional ketika ditanya sama ada dia terkejut melihat aksi Costa.

"Tak, kami tak terkejut kerana kami memang kenal dia. Semua orang tahu Costa dan dia suka menipu untuk menyingkirkan pemain lawan.

"Dia begitu di dalam padang tetapi sebenarnya dia baik. Kami bangga kerana memiliki dia," katanya.

Namun pemain kebangsaan Perancis itu kemudian terpaksa "menjelaskan semula" maksud kenyataan itu melalui Twitter kemudian.

Lihat Komen
ADS