Sekilas fakta EPL hari ini
Berita baik untuk Arsenal
Persatuan Bola Sepak England bersetuju membatalkan kad merah yang diberi pengadil Mike Dean kepada Gabriel Paulista ketika Arsenal menentang Chelsea Sabtu lalu.
Ekoran keputusan itu, hukuman automatik penggantungan sebanyak tiga perlawanan untuk Gabriel juga dibatalkan.
Gabriel dibuang padang kononnya kerana mengasari Diego Costa. Costa turut mengasari Laurent Koscielny namun pemain kebangsaan Sepanyol dan diketahui gemar menipu itu terlepas daripada tindakan .
Penilaian panel bebas semalam kemudian mendapati Costa bersalah dan dia dikenakan penggantungan tiga perlawanan.
Coutinho sepatutnya bersama Barcelona
Penyerang Brazil, Neymar mengakui corak permainan rakan senegaranya, Philippe Coutinho lebih sesuai bersama Barcelona dan bukannya Liverpool.
Kata Neymar, dia yakin Coutinho memiliki ciri yang diperlukan untuk pasukan juara La Liga itu.
Rodgers menghitung hari?
Pengurusan The Reds dilaporkan semakin serius berkira-kira untuk 'menyelamatkan' pasukan itu dengan menggantikan pengurus sedia ada, Brendan Rodgers dengan orang lain.
Walaupun semalam dilaporkan nama yang disebut-sebut peminat ialah bekas orang kuat Borussia Dortmund, Jurgen Klopp, sumber memberitahu pemilik Liverpool sudah berhubung dengan Carlo Ancelotti.
Ancelotti yang sebelum ini mengemudi Real Madrid dianggap salah seorang pengurus bola sepak terbaik di dunia ketika ini.
Eva ucap selamat tinggal Chelsea
Pegawai perubatan Chelsea, Dr Eva Carneiro, dilaporkan sudah tidak lagi bekerja untuk kelab itu . Walaupun Chelsea tidak membuat sebarang pengesahan terhadap berita berkenaan, mereka juga tidak menafikan laporan media.
Eva menjadi perhatian apabila dihukum oleh Jose Mourinho gara-gara bertindak pantas memberi bantuan perubatan kepada Eden Hazard yang cedera.
Terry turun lagi
Bekas Ketua Pasukan England John Terry akan membuat penampilan ke-650 untuk kelabnya Chelsea menentang Walsall awal pagi nanti. Terry, 34, akan memperkuatkan benteng pertahanan The Blues menentang kelab Liga Satu England pada jam 2.45 pagi esok (waktu Malaysia).
Shaw sudah boleh pulang
Pertahanan Man United, Luke Shaw sudah dibenarkan pulang dari hospital. Dia ditempatkan di pusat rawatan kerana mengalami dua keretakan tulang dalam perlawanan kelab itu menentang PSV Einhoven Selasa lalu.
Giroud ada pencabar
Menjelang pertemuan Arsenal - Tottenham Hotspur awal pagi nanti, pengurus Arsene Wenger memberi ingatan kepada pemain depannya, Olivier Giroud bahawa dia bukan lagi penyerang pilihan pertama kelab itu.
Untuk mendapat tempat dalam perlawanan itu nanti penyerang Perancis tersebut perlu bersaing dengan pemain England, Theo Walcott.

