Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Sukan

Berikutan kos penganjuran acara lumba berbasikal Le Tour de Langkawi (LTdL) semakin meningkat, Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin Abu Bakar akan mempertimbangkan sama ada meningkatkan geran kerajaan atau mencari penganjur baru bagi LTdL 2016.

"Saya sedang membuat pertimbangan kerana penganjur menyatakan mereka tidak dapat menganjurkannya dengan geran RM10 juta ekoran peningkatan kos dan kadar tukaran wang asing.

"Bagi menganjurkan LTdL, kita kena bayar yuran penampilan kepada pasukan bertaraf antarabangsa. Kalau tidak, kita tidak dapat (menganjurkan) acara bertaraf dunia.

"Apabila nilai mata wang asing meningkat, kos pun melambung tinggi," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Festival Score FitMob di Kolej Universiti KDU, di Shah Alam hari ini.

Khairy berkata kos penganjuran jelajah bernilai RM20 juta itu dikurangkan kepada RM10 juta tahun lepas, selepas penganjur swasta Human Voyage Sdn Bhd yang di­naungi Datuk Abdul Malik Mydin, dilantik bagi menganjurkan perlumbaan itu.

Dalam pada itu, beliau mengesahkan Cabaran Basikal Bukit Antarabangsa Langkawi (LIMBC) 2015 yang dijadualkan dari 18 hingga 24 Oktober, dibatalkan berikutan penganjur yang sama itu tidak mampu mencari dana mencukupi.

"Malik datang jumpa saya, beliau kata dalam keadaan ekonomi yang tidak begitu baik, beliau ada masalah dengan penajaan dan terpaksa batalkan acara itu," katanya.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS