Enam perlawanan dan hanya kalah dua kali. Mengatasi tiga daripada empat kelab elit dalam EPL. Itulah keunikan West Ham United - sekurang-kurangnya sehingga minggu keenam musim kali ini.

Perlawanan pertama West Ham mengatasi Arsenal 2 - 0, sebelum mencatat kekalahan dua kali berturut-turut kepada Leicester (1 - 2) dan Bournemouth (3 - 4).

Selepas itu adalah babak manis untuk West Ham apabila menundukkan Liverpool 0 - 3, Newcastle (2 - 0) dan Manchester City (2 - 1).

Menarik untuk melihat apakah keputusan bakal dicatat kelab ini apabila mereka akan turun menentang Norwich esok.

Untuk makluman West Ham kini dikendalikan seorang pengurus dari Croatia, Sleven Bilic ( gambar ).

Di sebalik rekodnya sebagai pemain kebangsaan Croatia, Bilic sendiri pernah bermain dalam EPL mewakilil Everton dan West Ham sendiri.

Bersama West Ham dia membuat 48 penampilan sepanjang tempoh 1996 - 1997, manakala bersama The Toffee (1997 - 2000) Bilic bermain sebanyak 28 kali.

Bilic juga pernah menjadi pengurus pasukan kebangsaan Croatia selama enam tahun mulai 2006.

Boleh berjaya jika tiada cedera

Selain bola sepak, tidak ramai tahu Bilic sebenarnya pemuzik lincah yang bermain gitar untuk kelab metal Rawbau.

Justeru, dapat difahami apabila dia menjelaskan kemenangannya ke atas Citizens minggu lalu sebagai pengalaman memasuki "sebuah pub yang penuh dengan wanita jelita".

Jika ditakdirkan mereka menang ke atas Norwich di gelanggang sendiri di Upton Park esok - dan Man City pula kalah kepada Tottenham Hotspur - The Hammers boleh bertakhta di puncak liga EPL untuk kali pertama sejak Ogos 2005.

Pengerusi bersama West Ham yang juga bekas jurugambar filem lucah, David Sullivan percaya kelab itu mampu melalui "musim manis" kali ini jika semua pemainnya berjaya mengelak daripada mengalami kecederaan berjangka panjang.

Ia ditambah pula dengan pembelian pemain baru - Dimitri Payet, Victor Moses, Pedro Obiang dan Angelo Ogbonna - untuk digandingkan bersama bekas pemain Liverpool, Andy Carroll.

Bagaimanapun setakat ini Caroll masih belum bersedia diturunkan akibat kecederaan.

Ketiga ketika ini

Di permulaan musim, Sullivan berkata, mereka meletakkan sasaran berada dalam kelompok 10 kelab teratas EPL.

"Kami mengalahkan Liverpool, Newcastle dan pendahulu EPL minggu lalu. Tiada siapa tahu apa yang boleh berlaku kepada West Ham musim ini," katanya.

Sejarah menunjukkan memang nasib West Ham selalu dirosakkan oleh masalah kecederaan pemain.

Ketika mereka diuruskan Alan Curbishley, West Ham seakan menjanjikan masa depan yang baik apabila wujud gandingan Carlos Tevez, Craig Bellamy dan Dean Ashton.

Namun Ashton dan Bellamy gagal menyumbang apa-apa kerana dibelenggu kecederaan jangka panjang, malah Ashton terpaksa bersara ketika dia baru berusia 26 tahun.

Selepas enam minggu EPL berlangsung, West Ham kini berada di kedudukan ketiga liga di belakang Man City dan Man United.