Rebut tempat ke Kejohanan Remaja Asia 2016, Vietnam
Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) dengan kerjasama Majlis Sukan Negara (MSN) dan Persatuan Olahraga Johor (POJ) bakal menganjurkan Kejohanan Remaja KOM di Kompleks Sukan EduCity, Nusajaya, Johor selama dua hari bermula 9 Okt ini.
Presiden KOM Datuk Karim Ibrahim berkata kejohanan berkenaan diadakan sempena sambutan Hari Sukan Negara pada 10 Okt ini.
Beliau menjelaskan kejohanan berkenaan merupakan medan terbaik untuk atlet remaja kebangsaan merebut tempat mewakili negara ke Kejohanan Remaja Asia 2016 yang bakal diadakan di Ho Chi Minh, Vietnam dari 2-6 Jun tahun depan.
"Kejohanan anjuran KOM ini turut memberi peluang kepada atlet baharu untuk mencari tapak sebelum mewakili negeri seterusnya negara," kata Karim.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Pengelola kejohanan berkenaan di Kuala Lumpur, semalam.
Dalam pada itu, Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan KOM, V. Mathivanan berkata, kejohanan berkenaan dibahagikan kepada dua kategori iaitu bagi peserta berusia 15-17 tahun dan 18-19 tahun.
Beliau yang juga Setiausaha POJ menjelaskan kejohanan itu sudah mendapat penyertaan yang menggalakkan dari tiga negeri iaitu Negeri Sembilan, Kedah dan Pahang manakala jumlah sebenar peserta hanya akan diketahui selepas tarikh tutup pada 1 Okt ini.
- Bernama

