Pasukan futsal Wanita negara kalah 1-8 dengan Jepun
Malaysia gagal melangkah ke final Kejohanan Futsal Wanita AFC 2015 setelah ditundukkan 1-8 oleh Jepun pada perlawanan separuh akhir kejohanan sulung itu di Stadium Tertutup Nilai, Negeri
Sembilan malam tadi.
Dengan kemenangan itu, Jepun akan bertemu Iran yang menewaskan Thailand 1-0 dalam satu lagi perlawanan separuh akhir manakala Malaysia akan berhadapan Thailand dalam penentuan tempat ketiga dan keempat kejohanan.
Kedua-dua perlawanan akan berlangsung esok.
Dalam perlawanan malam ini yang disiarkan secara langsung, Jepun mendahului 3-0 menerusi Sakata Mutsumi pada minit kedua, Amishiro Anna (minit ke-12) dan Kitagawa Kana pada minit ke-15.
Babak kedua menyaksikan Jepun menambah lima lagi gol menerusi Higashiyama Maiko dalam minit ke-23, Sakata (minit ke-35) dan juga hatrik oleh Kichibayashi Chikage dengan sepakan penalti pada minit ke-39 dan dua gol padang pada penghujung permainan.
Gol saguhati Malaysia diperolehi menerusi aksi jarak jauh oleh penjaga gol antian Sity Norazizah Jamal pada minit ke-35.
Jurulatih futsal wanita kebangsaan, Chiew Chun Yong mengakui Jepun adalah pasukan yang lebih baik dari segi fikizal dan taktik teknikal.
"Pemain kami mendapati sukar untuk menghadapi gaya permainan Jepun tetapi mereka telah mencuba yang terbaik. Saya percaya pemain negara telah banyak belajar daripada kekalahan ini, " katanya.
- Bernama

