Walaupun dilambung isu bakal dipecat daripada jawatan Pengurus Liverpool, Brendan Rodgers tetap dianggap sebagai punca kemenangan selepas menewaskan Aston Villa, awal pagi tadi.

Menurut pemain The Reds, Lucas Leiva, kemenangan 3-2 itu didedikasikan kepada Rodgers.

Katanya, kemenangan itu penting untuk pasukan sekali gus mengurangkan tekanan negatif dan memberi sokongan moral kepada Rodgers.

"Kami mahu memangani perlawanan ini demi pengurus. Kita semua tahu apa yang diperkatakan berkaitan dengan beliau (Rodgers), kami tahu tekanan yang dihadapinya.

"Namun, sebagai pemain kami berada di belakang dan berusaha untuk melakukan yang terbaik," kata Lucas.

Terdahulu, The Red mempamerkan kemerosotan apabila hanya mampu menang dua kali daripada enam perlawanan yang berlangsung.

Susulan itu, Rodgers dikatakan berdepan dengan ancaman bakal kehilangan karier bersama Liverpool selepas berbelanja besar untuk persediaan musim ini.

Sementara itu, pada perlawanan di laman sendiri Liverpool memperolehi gol seawal minit kedua melalui James Milner serta dua gol dijaringkan Daniel Sturridge.

"Pasukan lawan mampu menjaringkan dua gol, ia memberi tekanan kepada kami di gelanggang sendiri. Tetapi, lebih penting buat kami adalah memiliki tiga mata penuh.

"Saya kira kami bermain lebih baik dari aspek peluang dan penguasaan bola. Hanya pada bahagian serangan mereka dilihat memberi ancaman bahaya kepada kami," kata Milner seusai tamat perlawanan minggu ketujuh Liga Perdana Inggeris (EPL) itu.