Wanita Iran juara futsal Asia
Walaupun bertudung litup dan berpakaian dengan menutup hampir seluruh tubuh, pasukan futsal wanita Iran muncul juara Kejohonan Futsal Wanita AFC 2015 yang berakhir semalam.
Pada perlawanan akhir berlangsung di Stadium Tertutup Nilai, Negeri Sembilan semalam, Iran menang tipis 1-0 ke atas Jepun.
Fereshteh Karimi muncul sebagai wira selepas menjaringkan gol tunggal perlawanan pada minit kelapan perlawanan.
Jurulatih Iran Forouzan Soleimani berkata, pasukannya telah mempamerkan aksi terbaik walaupun menerima tentangan hebat daripada pasukan lawan.
"Saya sangat gembira dengan kemenangan ini, tetapi ia satu perlawanan yang sukar kerana Jepun merupakan pasukan pilihan, mempunyai disiplin tinggi, taktik dan teknik yang baik.
"Mereka mencorakkan permainan yang sukar kepada kami walaupun kami berjaya mengatasinya," katanya seperti dilaporkan web rasmi AFC.
Tambah Forouzan, mereka melakukan persediaan rapi untuk perlawanan itu dan ternyata membuahkan hasil.
"Kesabaran dan ketekunan memihak kepada kami. Saya percaya masa depan pasukan futsal wanita Iran akan lebih cerah di masa akan datang.
"Kami juga tidak sabar untuk menyertai lebih banyak kejohanan antarabangsa di masa akan datang," katanya.
Sementara itu, jurulatih Jepun Arihara Masaaki berkata, pasukannya telah beraksi dengan baik walaupun gol Iran membuatkan barisan pemain hilang punca buat seketika.
"Perlawanan lebih sukar pada separuh masa kedua di mana kami banyak membuat percubaan tetapi pertahanan Iran terlalu kebal untuk dibolosi," katanya.

