Menjelang perlawanan separuh akhir pertama Piala AFC 2015, wakil tunggal negara - JDT siap sedia mencabar juara bertahan Qadsia SC di Stadium Mohammed Al-Hamad Hawally, Kuwait, esok.

Penyerang pasukan Harimau Selatan itu, Safee Sali berkata, misi mereka ke Kuwait kali ini membawa nama baik JDT di pentas Asia bukan sekadar mewakili Malaysia, malah satu-satunya wakil Asia Timur.

"Kami akan jaga nama baik pasukan dan pastinya akan berjuang bersungguh-sungguh untuk mendapatkan keputusan yang baik sebagai bekalan di Stadium Larkin nanti.

"Paling penting adalah sentiasa positif, bermotivasi dan siap sedia dari segi mental serta fizikal untuk perlawanan ini," kata Safee seperti dilaporkan Facebok Johor Southern Tigers.

Bagi pemain tengah juara Liga Super itu, Mohd Shakir Shaari menyifatkan peluang mara ke peringkat separuh akhir Piala AFC sebagai pengalaman dan pendedahan yang baik kepada pasukan.

"Kehadiran kami bukan sahaja untuk memenuhi slot perlawanan tetapi kami ke sini untuk menang.

"Qadsia SC bukan calang-calang pasukan yang mudah ditewaskan, tetapi kami akan cuba lakukan yang terbaik untuk membawa pulang sebuah kemenangan buat semua penyokong.

Berdepan juara bertahan

Sementara itu, Aidil Zafuan Abdul Razak menegaskan mereka sudah bersedia dari segala aspek untuk menentang Qadsia SC.

"Perlawanan bersejarah ini akan kami harungi seperti mana perlawanan akhir. Dengan komitmen tinggi dari barisan kejurulatihan dan para pemain ketika ini, saya pasti keputusan yang baik mampu diperoleh.

"Kami adalah sebuah keluarga besar JDT dan tidak ada apa yang mustahil mampu dicapai bersama," kata pemain pertahanan itu.

Bagi pengendali JDT, Mario Gomez mengharapkan barisan pemainnya mampu memberi aksi terbaik pada perlawanan itu.

Menurut beliau, pemain perlu berada di tahap mental yang terbaik dan latihan kecergasan perlu diberikan penumpuan yang lebih khusus.

"Mungkin sukar untuk menentang Qadsia SC yang juga merupakan juara bertahan, namun tidak ada perkara yang mustahil untuk dicapai dalam bola sepak asalkan pemain sentiasa berfikiran positif.

"Persiapan rapi pasukan telah dibuat dan kami akan bertolak ke Kuwait pada 25 September untuk persediaan awal," katanya.