PDRM macam kontang idea
Tiada idea, itulah komen jurulatih PDRM, Mohd Fauzi Pilus selepas anak buahnya gagal memanfaatkan kelebihan ketika ditentang PKNS FC di Stadium Shah Alam, malam tadi.
Pada saingan ketiga kumpulan D Piala Malaysia itu, The Cops ternyata gagal menyinar seperti diharapkan.
Bermain di gelanggang sendiri, dapat sepakan penalti dan seorang pemain pasukan lawan dikenakan kad merah - semuanya belum memadai buat PDRM apabila mereka sekadar seri 1-1.
Mohd Fauzi berkata, pemainnya seperti hilang punca dan kekeringan idea untuk menjaringkan gol.
"Bagaimanapun saya masih positif dan yakin dengan barisan pemain yang untuk bersaing pada tiga baki perlawanan.
"Kami juga gagal menggunakan kelebihan walaupun PKNS bermain dengan 10 pemain," katanya sejurus selepas perlawanan tamat.
Penalti kena tepis
Disaksikan kira-kira 200 penyokong kedua-dua pasukan, skuad pelawat terlebih dahulu mempamerkan bisa apabila rembatan jauh Gabriel Miguel Guerra membolosi gawang PDRM pada minit ke-19.
PKNS bagaimanapun ditimpa malang apabila pengadil perlawanan Zulkifli Ahmad mengenakan kad merah kepada pemain mereka, Abd Ghani Rahman, kerana menahan bola menggunakan tangan dalam kawasan petak penalti.
Namun anak buah Mohd Fauzi menolak rezeki terhidang apabila sepakan penalti Dramane Traore berjaya ditepis penjaga gol PKNS, G Jeevanathan pada minit ke-32.
PDRM berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-51 separuh masa kedua melalui percubaan penyerang Ashfaq Ali.
Keputusan itu menyaksikan PDRM terus berada ditangga tercorot kumpulan berbanding PKNS di kedudukan ketiga.

