Selepas minggu ketujuh, belum ada kelab gergasi menunjukkan prestasi yang konsisten seperti sepatutnya, kata Thierry Henry.

Menurut bintang legenda Arsenal itu, perkembangan semasa menunjukkan saingan EPL pada musim ini begitu sukar untuk diramalkan.

"Ini akan menjadi perkara yang sukar. Dua minggu lalu semua orang memuji Manchester City, dan kini mereka tidak bermain sehebat minggu-minggu awal," katanya.

Kedudukan semasa menunjukkan Man United berada di kedudukan teratas EPL, diikuti Man City dan West Ham.

Bekas juara liga musim lalu, Chelsea, kini terperuk di tangga ke-14.

Merosot sejak dua minggu

Minggu lalu Man City diaibkan Tottenham Hotspur 1 - 4 di White Hart Lane, manakala The Blues nyaris diaibkan lagi sekali oleh Newcastle di Stadium St James.

Bagaimanapun bagi Henry, persaingan EPL musim ini masih panjang dan terlalu awal untuk membuat andaian kemungkinan Chelsea terkeluar daripada persaingan merebut gelaran juara.

"Jadi tiada siapa boleh tahu apa yang berlaku seterusnya," katanya kepada Sky Sport .

The Citizens mengalami kemerosotan prestasi sejak dua minggu terakhir.

Mereka mengalami kekalahan berturut-turut selepas lima minggu mengecapi kemenangan tanpa dibolosi.

Kekalahan pertama mereka ialah kepada kelab yang paling menunjukkan prestasi memberangsangkan ketika ini, West Ham .

The Hammers sudah mengalahkan dua daripada empat kelab paling elit di EPL, iaitu Arsenal, Man City selain Liverpool.