JDT kalah tapi belum mengalah
Nasib tidak menyebelahi JDT - sekurang-kurangnya untuk masa ini - apabila pasukan itu tunduk 1 - 3 kepada Qadsia SC dalam perlawanan pusingan pertama separuh akhir Piala AFC sebentar tadi.
Keputusan itu sekali gus menyukarkan laluan wakil Malaysia itu untuk melangkah ke perlawanan akhir.
Pada aksi di Stadium Kelab Sukan Kuwait itu, pasukan tuan rumah mempamerkan penguasaan di awal permainan berbanding skuad Harimau Selatan.
Ketangkasan, ketepatan hantaran dan kepantasan dimiliki barisan pemain Qadsia SC sememangnya selari dengan gelaran juara liga Kuwait yang dikecapi mereka musim lalu.
Keadaan itu memberi tekanan kepada anak buah Mario Gomez bukan sahaja untuk menjaringkan gol, malah tiada kelibat percubaan berbahaya dapat dilakukan.
Qadsia menjarakkan kedudukan pada minit ke-32 apabila tandukan Fuakuputu Doris Salomo mencecah gawang gol JDT hasil hantaran sepakan penjuru.
Benteng kukuh
Kesilapan pemain pertahanan JDT, Aidil Zafuan Razak mengasari pemain lawan di kawasan petak penalti menambahkan derita Harimau Selatan apabila Qadsia FC dihadiahkan sepakan penalti.
Kapten kelab wakil Kuwait itu, Bader Al-Motawaa menyempurnakan sepakan penalti untuk gol kedua pasukannya.
Dua gol di separuh masa pertama ternyata tidak cukup buat Qadsia SC untuk membawa bekalan selesa ke Larkin bagi perlawanan kedua 20 Oktober depan.
Babak masa kedua menyaksikan pasukan berjersi oren itu menambah gol ketiga melalui rembatan kencang di luar petak penalti oleh Seydouba Soumah.
Mendahului tiga gol, benteng pertahanan Qadsia FC terus diperkukuhkan ketika mereka menerima asakan bertubi-tubi barisan penyerang JDT.
Susulan kemasukan pemain sayap, Amri Yahyah menggantikan Gary Steven Robbat sedikit merubah rentak permainan JDT.
Hasilnya, Amri berjaya menghasilkan gol tunggal JDT di penghujung masa perlawanan untuk dibawa pulang sebagai bekalan di Larkin nanti.
Keputusan itu menyaksikan JDT perlu bekerja keras menjelang pertemuan kedua nanti, malah mereka sekurang-kurangnya perlu menang 2-0 untuk layak ke peringkat akhir.
Mungkin JDT nampak seperti berdepan misi mustahil di gelanggang sendiri, namun megenali kelab itu tiada yang di luar kemampuan untuk mereka melakukan kejutan.
2015 AFC CUP - SEMI FINAL 1ST LEG | QADSIA SC vs JOHOR DARUL TA'ZIMLive Update | Min-77QADSIA SC [3] - [0]...
Posted by JOHOR Southern Tigers on Tuesday, September 29, 2015

