Hari kedua perlawanan Liga Juara-juara Eropah menampakkan dua daripada empat kelab gergasi EPL kecundang, dengan Arsenal mencatat kekalahan kedua berturut-turut.

Keadaan itu menjadikan laluan The Gunners semakin sukar di sebalik kedudukan mereka dalam kumpulan F sepatutnya tidak terlalu mencabar.

Selepas diaibkan Dinamo Zagreb, Arsenal awal pagi tadi ditundukkan oleh kelab dari Greece, Olimpiakos 2 - 3, manakala Jose Mourinho terus berdepan hakikat pahit apabila kalah kepada bekas kelab yang pernah dibimbingnya, Porto FC.

The Blues terpaksa akur dengan kehebatan kelab dari Portugal itu dan terkulai dengan kedudukan 1 - 2.

Keputusan terbaru itu menjadikan Arsenal terperuk di tempat terbawah kumpulan F, manakala Chelsea di tempat ketiga kumpulan G.

Barcelona pula, tanpa bantuan penyerang berbisanya, Lionel Messi, tetap unggul mengatasi kelab dari Jerman Bayer Leverkusen.

Namun kemenangan itu tidaklah mudah kerana lawan mereka menunjukkan daya juang yang tinggi.

Sementara itu di Allianz Arena, Munich, kelab gergasi Jerman, Bayern Munich menang selesa ke atas pasukan dari Croatia, Dinamo Zagreb.

Pemain antarabangsa Poland, Robert Lewandowski terus membalas kepercayaan diberi Pep Guardiola apabila sekali lagi menjaringkan hatrik untuk pasukannya.

Malah dia menggegarkan jaring lawan dua kali dalam tempoh tujuh minit.

Dalam tiga perlawanan disertai Lewandowski, dia sudah menyumbang 10 gol untuk Bayern Munich.

Mario Gotze dan Douglas Costa masing-masing menyumbat satu gol untuk kelab mereka.

Keputusan penuh:

  • Arsenal 2 - 3 Olimpiakos
  • Dynamo Kyiv 2 - 0 Maccabi Tel Aviv
  • Dinamo Zagreb 0 - 5 Bayern Munich
  • BATE 3 - 2 AS Roma
  • Zenit Saint Petersburg 2 - 1 Gent
  • Bayer Leverkusen 1 - 2 Barcelona
  • Lyon 0 - 1 Valencia
  • Porto 2 - 1 Chelsea