Preview Liga Juara-juara awal pagi esok
Malmo geruni Ronaldo berbanding Ibrahimovic
Kapten kelab Malmo, Markus Rosenberg menilai Cristiano Ronaldo, Lionel Messi dan Zlatan Ibrahimovic berada pada kelas yang sama. Namun, bagi Rosenberg, Ronaldo pemain sangat berbahaya jika dibandingkan Ibrahimovic.
Pernyataan tersebut dilontar menjelang pertemuan kedua kumpulan A Liga Juara-juara awal pagi nanti.
Real Madrid akan berkunjung ke gelanggang Malmo untuk membuaru kemenangan kedua selepas mengatasi Shakhtar Donetsk 4 - 0 pada aksi pembukaan sebelum ini.
"Jika kita bercakap mengenai kepantasan, tidak terlalu ramai yang memilikinya tetapi Ronaldo adalah pemain hebat. Dia penyerang luar biasa dan menghasilkan lebih 300 gol bersama Madrid," kata Rosenberg.
Sebelum ini, Malmo gagal mengekang kelicikan Ibrahimovic yang mewakili Paris St-Germain (PSG) sehingga memaksa mereka tunduk 0 - 2.
"Jika dilihat perlawanan kami dan PSG, Zlatan (Ibrahimovic) memiliki banyak peluang. Tetapi saya fikir Christiano (Ronaldo) akan beri lebih banyak bawa masalah kepada kami," katanya.
PSG idam julang piala
Penyerang PSG, Edinson Cavani meletakkan harapan buat pasukannya menjulang Piala Liga Juara-juara musim ini.
Bergandingan dengan Zlatan Ibrahimovic, Cavani mengharapkan kerjasama mereka mampu memimpin pasukan meraih kemenangan gemilang.
"Saya selesa bermain bersama pemain kelas dunia seperti Zlatan (Ibrahimovic). Kami akan bekerjasama dan menunjukkan apa yang perlu dilakukan kepada semua," kata penyerang dari Uruguay itu.
Awal pagi esok, PSG bakal menghadapi tentangan daripada kelab Shahtar Donetsk bagi saingan kedua kumpulan A Liga Juara-juara.
Pada perlawanan pertama sebelum ini, mereka menundukkan Malmo 2-0.
Man City tempang
Pasukan kendalian Manuel Pellegrini kehilangan enam pemain utama bagi meneruskan perlawanan kedua menentang kelab Jerman, Borussia Monchengladbach.
Samir Nasri, Wilfried Bony, Gael Clichy, Fabian Delph, Eliaquim Mangala dan Vincent Kompany disahkan cedera, manakala Joe Hart dan David Silva dijadualkan bersama pasukan kebangsaan masing-masing.
"Pastinya kapten kami Vincent (Kompany) pemain penting. Saya fikir jumlah kecederaan kali ini begitu ketara.
"Kami mempunyai barisan pemain yang kuat, tetapi kehilangan ramai pemain pada satu masa bukan cabaran mudah," kata Pellegrini sambil menyifatkan perlawanan kali ini mencabar.
The Citizens tewas 1 - 2 kepada Juventus pada perlawanan pertama dan mengharapkan tiga mata penuh dikutip untuk memperbaiki kedudukan di kumpulan D.
Jadual EPL bikin Van Gaal susah hati
Persaingan di kumpulan B dilihat memberi kelebihan kepada Manchester United bagaimanapun tidak menyenangkan hati pengurusnya, Louis Van Gaal.
Van Gaal menyifatkan kepadatan jadual di EPL menyukarkan mereka untuk memberikan fokus kepada perlawanan Liga Juara-juara.
"EPL adalah liga yang sangat mencabar. Bukan mudah untuk mengalahkan lawan di EPL setiap minggu.
"Ia satu perjuangan besar dan kemudian anda perlu bertarung untuk Liga Juara-juara pada pertengahan bulan," kata Van Gaal seperti dilaporkan ESPN FC.
The Red Devils akan melayan kunjungan Wolfsburg di Old Trafford awal pagi nanti selepas tewas kepada PSV 1 - 2 pada saingan pertama.

