Sudah jatuh, ditimpa tangga dan terperosok dalam gaung pula - mungkin itu sesuai menggambarkan situasi skuad bola sepak kebangsaan buat masa ini.

Ketika aib dikalahkan 0 - 10 oleh Emiriah Arab Bersatu masih belum dapat dilupakan, Harimau Malaya tewas lagi kepada Arab Saudi.

Ketika pemangku jurulatih kebangsaan Datuk Ong Kim Swee tekun mencatur strategi menghadapi Timor Leste (perlawanan kelayakan Piala Dunia 2018 dan Piala Asia 2019) dan Laos (perlawanan persahabatan), Fifa mengeluarkan kedudukan terbaru skuad kebangsaan.

Harimau Malaya ketika ini hanya mampu mengaum di kedudukan ke-171 dunia berbanding 169 sebelum ini.

Ia adalah posisi terburuk Harimau Malaya sejak 1993.

Mengulas situasi semasa, Kim Swee berkata, ia sesuatu yang amat menyedihkan dan mengecewakan semua pihak.

"Tapi pada masa sama, kita bernasib baik juga kerana mempunyai dua perlawanan antarabangsa dalam masa terdekat iaitu bertemu Laos di Bangkok, Thailand pada 8 Oktober dan menentang Timor Leste di Dili pada 13 Oktober," katanya.

Jangan salahkah sesiapa

Menurut Kim Swee melalui dua perlawanan berkenaan kedudukan skuad kebangsaan boleh diperbaiki.

"Jadi kita perlu mengambil sepenuhnya peluang daripada dua perlawanan ini untuk mendapatkan seberapa banyak mata yang boleh.

"Jika kita menang kedua-duanya, sudah tentu kedudukan Harimau Malaya menjadi lebih baik berbanding posisi 171 sekarang," katanya.

Untuk makluman, skuad Harimau Malaya belum pernah mencatat kemenangan sejak Januari lalu.

Kata Kim Swee tiada mana-mana pihak perlu dipersalahkan bagi nasib yang menimpa skuad negara.

"Saya selaku jurulatih sementara skuad kebangsaan akan cuba sedaya upaya memperbaiki ranking Malaysia," katanya.