Penantian 13 tahun Selangor untuk menakluki Stadium Sultan Muhammad IV ‎berakhir sebentar tadi - walaupun sekadar mencatat kemenangan tipis 1 - 0 kepada pasukan Kelantan. Dan itu pun hasil 'ihsan' pemain The Red Warriors (TRW).

Pada aksi pusingan kedua kumpulan C Piala Malaysia itu, Selangor berada di kedudukan selesa seawal minit ke-18 hasil kesilapan pemain pertahanan tuan rumah menjaringkan gol sendiri.

Kesilapan Mohd Noor Hazrul itu bukan sahaja mengecewakan penyokong TRW, malah memberi suntikan semangat kepada pasukan pelawat.

Kelantan dilihat begitu tempang tanpa tiga pemain import mereka yang tidak diturunkan seawal masa perlawanan kecuali khidmat Gilma Filho da Silva yang digunakan.

Bahagian serangan skuad kijang begitu tumpul apabila Gilma yang dibantu Mohd Fakhri Shaarani dan Wan Zack Haikal Wan Noor serta kapten Badri Radzi gagal mencipta percubaan menarik.

Bagaimanapun, pengendali TRW Zahasmi Ismail akhirnya mengesan percaturan lemah pasukannya sekali gus memasukan pemain import pertahanan Jonathan McKain dan penyerang, Erwin Carrilo pada minit ke-60 perlawanan.

Walaupun cuba bangkit dengan lebih banyak asakan berbahaya, Kelantan tetap buntu mencari gol penyamaan sehingga wisel penamat ditiupkan pengadil perlawanan Mohd Zamzaidi Katimi.

Tebus kecewa pusingan pertama

Bagaimanapun, Selangor tetap gagal menjaringkan gol tambahan di Kota Bharu walaupun berpuas hati dengan kemenangan hasil gol sendiri pemain tuan rumah.

‎Kemenangan anak buah Mehmet Durakovic itu melonjakkan mereka ke tangga teratas kedudukan kumpulan‎ C buat seketika sementara menunggu keputusan perlawanan antara Felda United dan T-Team dijadualkan esok.

The Red Giants kini mengumpul tujuh mata ‎sekali gus menebus kekecewaan kekalahan 0-3 pada perlawanan pusingan pertama di Shah Alam, baru-baru ini.

Sementara itu, di Stadium Darulaman menyaksikan pasukan Kedah menewaskan kelab dari Singapura, Lions XII 2-0 bagi saingan kumpulan A.