Platform sukan dan rekreasi turut menjadi pilihan Pakatan Harapan sebagai usaha menarik anak muda mendekati mereka, terutama pertubuhan yang baru dibentuk, Parti Amanah Negara (AMANAH).

Kelmarin, mereka bermula dengan Futsal Silaturrahim Pemuda Pakatan Harapan di Seksyen 7 Shah Alam yang disertai pasukan Pemuda AMANAH, PKR dan Pemuda Sosialis DAP (Dapsy) Selangor.

Tidak ketinggalan, beberapa pasukan lain.

Timbalan Ketua Pemuda AMANAH , Faiz Fadzil berkata, acara julung kali itu diadakan sebagai simbolik kepada perancangan program masa depan mereka.

"Kami merancang pelbagai program melibatkan aktiviti outdoor yang lebih dekat dengan kehendak anak muda dan.

"Selain itu kami juga menganjurkan pertandingan liga bola sepak fantasi di samping forum dan program umum AMANAH," katanya kepada Malaysiakini.

Mengulas mengenai Futsal Silaturrahim itu, Faiz berkata, lebih 50 peserta membabitkan 12 pasukan mengambil bahagian.

"Bagi acara pertama ini kita libatkan ahli jawatankuasa, ahli parti dan rakan-rakan terdekat ketiga-tiga parti Pakatan Harapan. Ia diadakan secara tertutup untuk merapatkan lagi hubungan dan kerjasama antara kita," katanya.