Hoki wanita: Perlawanan ditangguh kerana jerebu
Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) telah menangguhkan perlawanan akhir Liga Wanita TNBMHC 2015 antara Sekolah Sukan Thunderbolts Tunku Mahkota Ismail (SSTMI) dan Pusat Kecemerlangan Sukan Kementerian Pendidikan Malaysia (PKS-KPM) di Stadium Hoki Nasional di Bukit Jalil hari ini berikutan keadaan jerebu yang semakin buruk.
Ketua Pegawai Eksekutif MHC K Logan Raj dalam kenyataan hari ini berkata, keputusan tersebut dibuat selepas mendapat nasihat Presiden MHC Datuk Seri Subahan Kamal dan rundingan dengan Institut Sukan Negara (ISN) dan Kementerian Belia dan Sukan.
Logan berkata bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di Bukit Jalil dari ISN ialah 279.17 pada pukul 11 pagi, melepasi bacaan IPU 150 yang ditetapkan ISN dan kementerian bagi menjalankan aktiviti sukan di luar.
Beliau berkata MHC akan memaklumkan kepada kedua-dua pasukan mengenai tarikh baru perlawanan akhir itu.
SSTMI mara ke akhir selepas mencatat kemenangan sensisi 4-1 ke atas juara bertahan Angkatan Tentera Pernama di separuh akhir yang diadakan di Stadium Hoki Nasional, semalam.
KPS-KPM pula berjaya ke perlawanan akhir selepas membelasah Penang Juniors 8-0 dalam satu lagi perlawanan separuh akhir.
Perlawanan menentukan kedudukan ke-3/4 antara Angkatan Tentera Pernama dan Penang Juniors akan diadakan di stadium sama.

