Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Sukan
Piala Malaysia: TRW tiada pilihan kecuali menang

Skuad Kelantan tidak mempunyai pilihan selain perlu memenangi baki dua perlawanan terakhir saingan peringkat kumpulan Piala Malaysia bagi merebut slot ke suku akhir.

Pemangku jurulatih Kelantan Zahasmi Ismail menaruh harapan tinggi kepada anak buahnya untuk mencipta kemenangan dalam dua perlawanan itu setelah The Red Warriors (TRW) tewas 0-1 kepada Selangor pada perlawanan di Stadium Sultan Muhammad ke-IV di sini, malam tadi.

"Saya menaruh keyakinan tinggi kepada anak buah saya untuk meneruskan perjuangan bagi merebut slot ke suku akhir kerana kita tahu persaingan masih terbuka.

"Kami akan bekerja keras dalam dua perlawanan terakhir selepas ini bagi melayakkan kami ke suku akhir," katanya ketika ditemui di Kota Bharu, hari ini.

Pada perlawanan malam tadi, Kelantan gagal memanfaatkan kelebihan beraksi di laman sendiri apabila kalah tipis 0-1 kepada Selangor pada aksi keempat Kumpulan C.

TRW kini di kedudukan ketiga kumpulan C dengan empat mata daripada empat perlawanan di belakang Selangor yang mengutip tujuh mata dan Felda United yang meraih lima mata, namun beraksi kurang satu perlawanan.

Mengulas mengenai perlawanan malam tadi, Zahasmi berkata anak buahnya tidak bernasib apabila gagal mencipta jaringan terutama pada separuh masa kedua walaupun menampilkan aksi yang baik.

"Saya akui pada separuh masa pertama, pemain banyak memberi ruang kepada Selangor untuk mencipta peluang menjaringkan gol," katanya.

- Bernama

Lihat Komen
ADS