Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Harapan Malaysia untuk layak ke pusingan akhir Kejohanan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) Bawah 19 (B-19) 2016 di Bahrain, tahun depan musnah selepas mengalami kekalahan kedua berturut-turut dalam aksi kumpulan I pusingan kelayakan.

Pada perlawanan di Stadium Pusat Sukan Huai'an, Jiangsu, China semalam, skuad negara kalah 1-0 kepada Korea Utara hasil jaringan tunggal penyerang, Han Il Hyok pada minit ke-54 perlawanan, demikian menurut laman sesawang AFC www.the-afc.com.

Kekalahan kedua berturut-turut itu menyaksikan skuad itu, yang turut dikenali sebagai Harimau Muda C, menduduki tangga ketiga daripada empat pasukan tanpa sebarang mata selepas dua perlawanan.

Mereka sebelum ini diaibkan dengan kekalahan 6-0 kepada China pada aksi pembukaan perlawanan kumpulan, Jumaat lepas.

Malaysia bakal menamatkan aksi pusingan awal menentang Macau di venue yang sama, Selasa ini.

Dalam pada itu, jurulatih skuad B-19 negara, Hassan Sazali Mohd Waras berkata, pasukan kendaliannya beraksi dengan baik namun mengakui nasib tidak menyebelahi pasukan muda negara itu.

Beliau menjelaskan pemain terutamanya barisan pertahanan beraksi cemerlang dengan banyak menghalang gerakan pantas pasukan lawan.

"Kita telah melakukan serangan-serangan balas ke atas pihak lawan dan gagal untuk menyempurnakan peluang yang ada dan pihak lawan pula menyempurnakan satu peluang yang mereka perolehi.

"Keseluruhannya, permainan pasukan lebih baik dari perlawanan pertama menentang China," jelas Hassan Sazali dipetik sebagai berkata menerusi laman sesawang Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), www.fam.org.my.

Dalam satu lagi aksi kumpulan I, bekas naib juara tiga kali, China semakin hampir untuk menempah tiket ke pusingan akhir kejohanan setelah mencatat kemenangan selesa 8-0 ke atas Macau.

Berdasarkan format pusingan kelayakan, juara setiap kumpulan (10 pasukan) dan lima pasukan kedua terbaik layak ke pusingan akhir bersama Bahrain yang layak secara automatik selaku tuan rumah kejohanan pada tahun depan.

- Bernama

Lihat Komen
ADS