Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Sukan
Harimau Malaya dihimpit badi 'kosong'
Diterbitkan:  Oct 6, 2015 4:16 PM
Dikemaskini: 8:22 AM

Diaibkan Emirah Arab Bersatu (UAE) dengan 10 - 0 , kini skuad Harimau Malaya terpaksa berdepan pasukan sama dengan suatu 'kosong' yang sudah pasti sebelum wisel permulaan ditiupkan pun.

Dalam perlawanan dijadual 17 November nanti, pasukan kebangsaan akan melayan pemain UAE di stadium kosong.

Semuanya kerana hukuman dibuat Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa) ekoran kekecohan di Stadium Shah Alam ketika Harimau Malaya menentang Arab Saudi pada 8 September lalu.

Malaysia akan menentang UAE dalam pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2018 dan Piala Asia 2019 di Stadium Bukit Jalil.

Selain perlu bermain dalam stadium kosong, FAM juga didenda RM180,000 manakala perlawanan Malaysia - Arab Saudi itu dianggap berkesudahan Harimau Malaya tewas 0 - 3.

Ketika perlawanan dihentikan pada minit ke-88 akibat kekecohan itu, Arab Saudi mendahului Malaysia 2 - 1.

Tempat tercorot

Setakat ini skuad negara hanya memperoleh satu gol hasil jaringan dibuat ketika menentang Timor Leste. Gol itu membolehkan Malaysia seri 1 - 1 dengan Timor Leste.

Ketika menentang Palestin di Stadium Bukit Jalil, Harimau Malaya yang ketika itu di bawah kendalian Dollah Salleh dibelasah 0 - 6.

Kemudian tiba detik paling aib apabila skuad negara tewas 0 - 10 kepada UAE di Abu Dhabi. Ekoran kekalahan itu Dollah melepaskan jawatannya dan tugas itu kini dipikul Datuk Ong Kim Swee .

Beraksi di laman sendiri, Malaysia mencipta gol kedua ke gawang lawan apabila bertemu Arab Saudi sebelum pengadil menghentikan perlawanan akibat rusuhan penonton di Shah Alam.

Mengenai hukuman ditetapkan Fifa itu, FAM dilaporkan berkata, mereka masih menunggu surat rasmi daripada badan induk bola sepak dunia itu sebelum membuat rayuan.

Timbalan Presiden FAM Datuk Seri Afandi Hamzah berkata FAM hanya mengetahui mengenai keputusan Jawatankuasa Disiplin Fifa itu melalui laman sesawang rasmi mereka.

Hari ini, pasukan negara berada di Bangkok, Thailand untuk melunaskan aksi persahabatan dengan Laos sebelum meneruskan saingan kelayakan berdepan Timor Leste pada 13 Oktober ini.

Dengan hanya satu mata Malaysia kini berada di tempat tercorok kumpulan A berbanding UAE di tempat pertama dengan tujuh mata.

Lihat Komen
ADS