Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Sukan
FAM akui hukuman Fifa berat
Diterbitkan:  Oct 6, 2015 6:59 PM
Dikemaskini: 11:17 AM

Empat tindakan Fifa terhadap FAM disifatkan sebagai sebagai hukuman berat terpaksa ditanggung badan induk bola sepak Malaysia itu.

Bagaimanapun, Timbalan Presiden FAM Datuk Mokhtar Ahmad berkata, pihaknya tidak akan menyerah sebaliknya cuba mengemukakan rayuan supaya hukuman lebih ringan dikenakan.

"Saya fikir kami akan buat rayuan. Kalau masih ada ruang, kami perlu guna dengan sebaik mungkin," katanya kepada media.

Bagi Mokhtar, tiada salahnya untuk mencuba merayu supaya hukuman berkenaan diringankan kerana Fifa mungkin akan membuat pertimbangan kepada beberapa aspek.

"Mana tahu Fifa mungkin memberi kebenaran penyokong menyaksikan perlawanan menentang UAE nanti," katanya.

Ekoran kekecohan dalam perlawanan antara Malaysia - Arab Saudi pada 8 September lalu FAM dihukum serta diberi amaran oleh Fifa, iaitu:

  • Didenda RM180,000
  • Bermain satu perlawanan di stadium tanpa penonton
  • Diputuskan tewas 0 - 3 kepada Arab Saudi

Hukuman itu bermakna skuad Harimau Malaya akan beraksi tanpa seorang pun penyokong ketika menjadi tuan rumah pasukan Emirah Arab Bersatu di Stadium Bukit Jalil pada 17 November ini.

Kata Mokhtar, rayuan itu pasti akan dibuat selepas berbincang dengan seorang lagi timbalan presiden badan bola sepak itu, Datuk Seri Afandi Hamzah.

Rekod sebelum ini menunjukkan FAM didenda RM43,173 apabila penyokong membakar suar pada aksi persahabatan menentang Filipina di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, Mac tahun lalu.

Hukuman lebih berat diterima FAM apabila terpaksa membayar RM151,108 selepas segelintir penyokong Malaysia bertindak menyerang penyokong Vietnam pada aksi separuh akhir Piala AFF, Disember tahun lalu.

Sementara itu, Mokhtar menyifatkan tindakan liar penyokong tersebut adalah sia-sia dan merugikan banyak pihak.

“Kalah dan ditolak tiga mata sudah dikira hukuman berat. Saya berdoa agar peminat mengambil pengajaran serta iktibar daripada insiden ini. Saya tidak tahu apa motif mereka, kalau waktu itu kita menang tak pasal-pasal kalah (3-0),” katanya.

Lihat Komen
ADS