Terengganu menyenaraikan 10 pemain termasuk tiga pemain import untuk persediaan menghadapi Kejohanan Antarabangsa Ragbi Tujuh Sepasukan Piala NS Royal 2015 di Seremban, Negeri Sembilan pada 17 Okt ini.
Pengurus pasukan Amir Amri Mohamad berkata pemain-pemain tersebut dipilih berdasarkan pencapaian dan prestasi mereka pada kejohanan Ragbi Piala Agong yang berlangsung di Lembah Klang baru-baru ini.
"Sepatutnya kita menyenaraikan 12 orang, akan tetapi kita masih menunggu jawapan daripada dua pemain import dari Pasukan Ragbi Sabah," katanya kepada Bernama di Kuala Terengganu hari ini.
Menurut beliau, dua pemain import yang bermain untuk Pasukan Ragbi Sabah itu dijadual pulang ke tanah air hari ini selepas mewakili pasukannya ke kejohanan ragbi di Bali, Indonesia.
Justeru, katanya, rancangan meminjam dua pemain import berkenaan yang berasal dari Fiji itu adalah bagi melengkapkan pasukan Terengganu menghadapi cabaran dalam kejohanan tersebut kerana Pasukan Ragbi Sabah tidak menyertai kejohanan Piala NS Royal itu.
Amir berkata Terengganu masih menggunakan khidmat tiga pemain import kelahiran Fiji sedia ada memandangkan prestasi mereka dalam kejohanan Piala Agong sangat memberangsangkan hingga berjaya membantu pasukan menduduki tangga ketiga keseluruhan menewaskan Johor 40-18 pada aksi di Stadium Majlis Perbandaran Petaling Jaya.
Pemain import berkenaan ialah Voli Tuevei Suliano, Koroi Timoci Saini dan Nabanisau Setareki Ritova.
Beliau berkata pemain-pemain tempatan yang disenaraikan ialah Zaki Baru, Hafiizh Zainal, Nasaruddin Ismail, Azam Fakhurullah Abdul Razak, Mohd Akmal Abdul Manaf, Amirul Azamudin Adam dan Mohd Zhafir Fauzi.
Katanya sasaran Terengganu pada saingan di Seremban itu sekurang-kurangnya memasuki peringkat separuh akhir.
-Bernama
