Balu Mokhtar Dahari yakin Harimau Malaya bangkit
Balu legenda bola sepak negara Allahyarham Datuk Mokhtar Dahari, Datin Tengku Zarina Tengku Ibrahim percaya prestasi pasukan kebangsaan mampu kembali menyerlah.
Malah beliau berkata tiada pihak sepatutnya bersikap menuding jari di atas prestasi skuad Harimau Malaya yang dilihat merudum kebelakangan ini.
"Saya pasti kita akan bangkit semula. Tak guna nak tuding jari tunjuk mana salah, situ salah, sini salah. Saya percaya dengan pembabitan mereka yang berkelayakan, kita mampu melonjak kembali," katanya kepada Bernama ketika diminta mengulas prestasi semasa pasukan kebangsaan.
Beliau berkata demikian pada perlawanan akhir Kejohanan Bola Sepak Piala Datuk Mokhtar Dahari di Kompleks Sukan PKNS, Kelana Jaya, di Petaling Jaya, hari ini.
Pasukan Sekolah Tinggi Kajang muncul juara kejohanan yang masuk edisi kedua selepas menumpaskan Sekolah Menengah Kebangsaan Meru 1-0.
Kekalahan memalukan 10-0 Harimau Malaya kepada Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan 6-0 di tangan Palestin pada kempen kelayakan Piala Dunia 2018/Piala Asia 2019 merupakan antara prestasi yang menghampakan peminat tempatan.
Malaysia merupakan antara pasukan terbaik di Asia pada 1970-an ketika dibarisi pemain handalan seperti Allahyarham Mokhtar, Datuk Soh Chin Aun, mendiang Datuk R. Arumugam, Datuk Santokh Singh dan Isa Bakar.
Allahyarham Mokhtar mula menyarung jersi kebangsaan pada 1971, ketika berusia 19 tahun dan dianggap penyerang terbaik negara sehingga hari ini.
Antara kejayaan Allahyarham sepanjang karier bola sepaknya ialah pingat gangsa Sukan Asia 1974 di Tehran, pingat emas Sukan SEA 1977 dan 1979 selain menjuarai Pestabola Merdeka sebanyak empat kali, iaitu pada 1973, 1974, 1976 dan 1979.
Beliau yang digelar 'SuperMokh' turut mencipta kejutan ke atas kelab Inggeris, Arsenal dalam aksi persahabatan di Stadium Merdeka pada 1975, apabila menjaringkan dua gol bagi skuad kebangsaan di bawah kendalian Datuk M Chandran untuk mencatatkan kemenangan 2-0.
Malah Allahyarham turut menjaringkan gol penyamaan ketika skuad negara seri 1-1 dengan England B pada 1978 selepas jaringan dari luar petak penaltinya menewaskan penjaga gol, Joe Corrigan.
Allahyarham Mokhtar meninggal dunia ketika berumur 37 tahun akibat penyakit distrofi otot di Pusat Perubatan Subang Jaya (SJMC) pada 1991.
-Bernama

