Walaupun terus gigih mengkritik FAM, Tunku Ismail Sultan Ibrahim mengakui beliau bukan tokoh yang sesuai untuk mengetuai badan induk bola sepak negara itu.

Biarpun pelbagai pihak menganggap kenyataan keras beliau mengecam FAM adalah strateginya untuk menguasai badan berkenaan, Tengku Mahkota Johor itu berkata, dia "tidak mampu" melaksanakan tugas itu.

Dalam temubual disiarkan di Facebook Johor Southern Tigers hari ini, Tunku Ismail berkata beliau tidak pasti siapakah yang paling sesuai menjadi Presiden FAM.

Jawatan itu kini dipegang Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah dari Pahang.

Ada dua nama disebut Tengku Ismail, iaitu Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) Tan Sri Annuar Musa dan Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar.

Namun setakat ini beliau belum dapat membuat kepastian.

Jika beliau atau Annuar menjadi presiden, katanya, mungkin boleh berlaku ketidakadilan kerana mereka berisiko memberikan kelebihan kepada pasukan masing-masing.

"Orang seperti saya dan Annuar akan sentiasa melebihkan Johor dan Kelantan.

"Sebagai Presiden FAM, seseorang itu perlu belaku adil dalam membuat keputusan, tetapi saya tidak mampu melakukan yang demikian. Johor lebih utama pada saya, sebelum Malaysia," katanya.

Tidak boleh berhenti

Tunku Ismail kemudian memetik nama Khairy sebagai "calon yang paling sesuai" namun masih ada ketidaktentuan.

"Saya rasa mungkin beliau juga kurang berminat untuk kembali ke FAM,” katanya.

Tunku Ismail menjadi antara tokoh paling lantang mengkritik kepimpinan FAM dan mempertikaikan dasar dilaksanakan badan bola sepak berkenaan.

Begitu juga Annuar. Ahli Parlimen Ketereh dan bekas menteri itu pernah dihukum gantung daripada aktif dalam persatuan bola sepak selama dua setengah tahun kerana memberi kenyataan media yang tidak digemari FAM.

Annuar ketika itu adalah Timbalan Presiden FAM.

Selain cara pengurusan, aspek lain yang menjadi sasaran teguran beliau adalah mengenai aspek pembangunan bola sepak, pengagihan bayaran daripada hak penyiaran dan pemilihan jurulatih kebangsaan.

Mengenai pembangunan bola sepak di Johor, Tunku Ismail yang juga Penaung Diraja JDT berkata, dalam tempoh antara lima hingga 10 tahun akan datang, mereka berharap dapat bersaing dengan pasukan terbaik Asia.

"Kita tidak boleh berhenti berusaha dan mengatakan yang kita sudah cukup berjaya. Ianya suatu perjalanan yag berterusan, kita tidak boleh terlalu selesa.

Saya sentiasa mengingatkan semua dalam kelab ini, penghalang kemajuan yang paling utama adalah sifat malas dan selesa. Hari ketika para pemain dan kakitangan JDT berasa selesa dengan pencapaian mereka, itulah hari kelab berkubur.

“Saya tidak akan membenarkan ia berlaku, dan melihat kepada keadaan sekarang, saya rasa para penyokong juga tidak akan membenarkan ianya berlaku. Di Johor, sejak zaman berzaman kita digalakkan untuk bersatu dan komited dalam memperjuangkan sesuatu.

"Jadi walaupun ahli politik sentiasa memainkan sentimen perkauman, bangsa Johor sentiasa bersatu, dan perpaduan itulah yang menjadi tulang belakang kelab (JDT) ini,” katanya.

Kenyataan itu asalnya dimuatkan dalam laman web fourthofficial.com.