JDT ke final Piala AFC tanpa keringat kali kedua
Dikagumi atau dicemburui, hakikatnya JDT sudah melakar sejarah.
Ketika kelab itu seolah-olah berdepan misi mustahil mencari tempat ke perlawanan akhir Piala AFC 2015 rezeki bagaikan turun dari langit.
Semalam Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa) membuat keputusan menggantung Persatuan Bola Sepak Kuwait (KFA) kerana masalah melanda badan kebangsaan negara itu.
Keputusan berkenaan menyaksikan semua pasukan dari negara itu dilarang menyertai mana-mana pertandingan antarabangsa.
JDT sepatutnya bertemu wakil dari Kuwain, al-Qadsia SC pada 20hb Oktober ini dalam saingan kedua separuh akhir Piala AFC 2015.
Dalam perlawanan pusingan pertama 30 September lalu JDT kalah 1 - 3 kepada al-Qadsia di Kuwait City.
Dalam status dimuat naik Johor Southern Tigers hari ini, ekoran keputsan Fifa itu JDT diberi kemenangan ke atas al-Qadsia dan layak ke perlawanan akhir bertemu kelab FC Istiklol.
Perlawanan itu dijadual berlangsung pada 31hb Oktober ini.
Anggap rezeki
"Tahniah diucapkan kepada pasukan JDT yang telah mencipta satu lagi sejarah baru apabila menjadi pasukan pertama tanahair melangkah ke perlawanan akhir Piala AFC.
"Peluang ini dianggap rezeki buat pasukan dan penyokong Harimau Selatan untuk bersama-sama menyaksikan JDT melakar satu lagi lembaran baru dalam titian perjalanan mereka di bawah naungan DYAM Tunku Mahkota Johor. Luaskan Kuasamu Johor," kata kenyataan itu.
Sementara itu Bernama memetik kenyataan laman sesawang fifa.com sebagai berkata, penggantungan itu berkuat kuasa serta-merta susulan mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif Fifa pada 24 dan 25 September lepas.
"Penggantungan itu akan hanya ditarik balik apabila KFA dan ahli-ahlinya (kelab) dapat menjalankan aktiviti dan tanggungjawab mereka secara bebas.
"Hasil daripada keputusan ini, tiada pasukan dari Kuwait termasuk kelab boleh mempunyai sebarang hubungan sukan antarabangsa mahupun KFA atau mana-mana anggotanya atau pegawainya boleh mendapat manfaat daripada sebarang program pembangunan, kursus atau latihan daripada FIFA atau Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC)," katanya.
Sebab FIFA gantung Kuwait FA kerana campur tangan kerajaan Kuwait. https://t.co/p9qAMiX35n
— Khairy Jamaluddin (@Khairykj) October 17, 2015
Sementara itu Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin Abu Bakar menjelaskan penggantungan KFA itu dibuat Fifa kerana wujud campur tangan kerajaan pada badan induk bola sepak negara berkenaan.
Melalui Twitter, Khairy turut sempat menyampaikan ucapan tahniah kepada JDT kerana kejayaan mereka layak ke perlawanan akhir Piala AFC 2015.

