Sikap sesetengah pihak yang 'perasan' mereka lebih warak mendapat kecaman daripada Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin Abu Bakar hari ini.

Menyentuh mengenai teguran sesetengah pengguna laman sosial terhadap atlet wanita, Khairy menggunakan Twitter untuk menyatakan pandangannya mengenai isu itu.

"Tak pasti ciptaan siapa tetapi sangat tepat menceritakan budaya buruk holier-than-thou judgmental Melayu," katanya di Twitter.

Menyertai komen berkenaan adalah dua lakaran grafik yang menjelaskan maksud kenyataan Ahli Parlimen Rembau itu.

Gambar pertama memaparkan seorang atlet memakai singlet bersama medal yang dimenanginya.

Di sebelah gambar itu dipaparkan komen: "Nak bersukan pun, pakailah tudung, bodoh!"

Komen lain ialah: "Patutlah ramai perempuan masuk neraka".

Pemikiran komuniti Melayu

Gambar bawah pula memaparkan seorang wanita bertudung dan bersama medal yang dimenanginya.

Tidak seperti reaksi pada gambar pertama, gambar kedua mengundang komen yang tidak kurang jahatnya.

Tak pasti ciptaan siapa tetapi sangat tepat menceritakan budaya buruk holier-than-thou judgmental Melayu. pic.twitter.com/7ktJ8lXtHV

— Khairy Jamaluddin (@Khairykj) October 17, 2015

Antaranya ialah pertanyaan mengenai saiz coli dipakai watak terbabit.

Walaupun paparan itu adalah rekaan, Khairy berkata, ia membayangkan pemikiran sebahagian komuniti Melayu.

Isu pakaian atlet wanita bukan perkara baru menjadi polemik.

Pada Jun lalu pemenang enam pingat - termasuk dua emas - Sukan SEA 2015 di Singapura, Farah Ann Abdul Hadi menjadi sasaran kecaman sesetengah pihak kerana pakaian yang digunakannya ketika membuat persembahan.

Di sebalik kecaman itu Khairy dan Sultan Selangor adalah antara pihak tampil mempertahankan Farah Ann.