TMJ minta Fifa siasat FAM
Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa) digesa melakukan siasatan ke atas FAM yang didakwa gagal menangani rasuah dan menyimpan pendapatan hasil hak penyiaran perlawanan bola sepak tempatan.
Dalam temuramah bersama agensi berita antarabangsa Reuters, Penasihat Diraja Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ) Tunku Ismail Sultan Ibrahim berkata, FAM wajar bertanggungjawab terhadap kejatuhan ranking skuad kebangsaan ke tangga ke-171 selepas dibelasah 10 - 0 oleh Emiriah Arab Bersatu (UAE), bulan lalu.
“Mungkin Fifa perlu menyiasat FAM atau bertindak seperti itu kerana apa yang berlaku adalah tidak sihat.
“Tiada siapa berminat mahu bergerak ke depan atau membawa bola sepak Malaysia ke satu tahap lebih baik, sebaliknya semua orang lebih berminat dengan kepentingan peribadi dan kedudukan mereka,” kata Tunku Ismail seperti dilaporkan Reuters .
Melalui wawancara yang berlangsung di Singapura itu, Tunku Mahkota Johor itu menjelaskan, kebanyakan pasukan dikendalikan oleh ahli politik dan mereka semua mahu memastikan kedudukan mereka selamat.
Selain itu, pada Januari lalu FAM mengikat perjanjian 15 tahun dengan MP & Silva dan syarikat tersebut komited untuk memberi dana sekurang-kurangnya RM1.2 bilion kepada badan induk bola sepak negara itu.
Perjanjian itu juga menjadikan liga tempatan diswastakan musim depan.
Kekal status quo
Tunku Ismail berkata, rundingan masih diteruskan antara kelab, MP & Silva dan FAM tentang bagaimana wang itu akan diagihkan tetapi tidak berpuas hati dengan apa yang telah dicadangkan.
“Sepatutnya dalam setiap liga di dunia semua kelab yang mengambil bahagian harus mempunyai 90 hingga 95 peratus hak penyiaran yang akan membantu mereka untuk mempunyai projek pembangunan belia sendiri, menambah baik infrastruktur dan mempunyai pasukan yang berkualiti.
“Tetapi masalahnya ialah FAM hanya memberikan 22 peratus kepada pasukan yang menyertai pertandingan, sehingga setiap pasukan hanya akan mendapat RM1 juta, manakala FAM menikmati sebahagian daripada RM47 juta.
“Sepatutnya, ia perlu diberikan kepada kelab. Apa yang FAM lakukan pada dasarnya mencuri wang dari kelab dan dunia perlu tahu bahawa. Ia adalah salah.” tambah Tunku Ismail.
Kata beliau, bantahan ke atas FAM yang dikongsi di media sosial tidak mendapat sokongan yang banyak daripada presiden kelab dan menyalahkan jurang generasi dan kesungguhan mereka untuk mengekalkan status quo sebagai punca.
Pulaukan perlawanan tempatan
Beliau turut menggesa peminat untuk memboikot perlawanan di seluruh negara jika mereka mahu memberi kesan kepada pihak berkuasa.
“Kejahilan adalah kunci kepada huru-hara. Jika anda mengabaikan sesuatu dan tidak berminat untuk memperbaikinya maka kita selamanya akan menjadi seperti diri kita pada hari ini.
“Jika presiden FAM dan semua exco benar-benar mempunyai kepentingan dan niat yang baik untuk meningkatkan bola sepak Malaysia maka mereka harus melakukan sesuatu mengenainya. Jika tidak, saya rasa mereka tidak perlu ada kerana anda (FAM) memberikan Malaysia nama yang buruk,” tambah beliau.

