Boikot perlawanan sia-sia, kata 'Rambo' Ultras Malaya
Gesaan Penaung Diraja Persatuan Bola Sepak Negeri Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim supaya peminat memboikot sebarang perlawanan bola sepak tempatan dilihat tidak memberi kesan besar.
Jurucakap Ultras Malaya, Alfadli Awaludin berkata, perkara itu sudah dilakukan pada 10 hingga 15 tahun lalu, tetapi sia-sia.
"Bila peminat boikot dan tidak peduli kepada bola sepak Malaysia, maka lebih mudah untuk segelintir puak menjahanamkan bola sepak Malaysia.
"Bola sepak di negara kita tidak bergantung kepada pasaran penyokong semata-mata, jadi apabila penyokong tiada persatuan masih dapat peruntukan kerajaan," katanya kepada Malaysiakini .
Terdahulu, Tengku Mahkota Johor (TMJ) menggesa menggesa peminat memboikot perlawanan di seluruh negara jika mereka mahu memberi kesan kepada pihak berkuasa.
Menurut beliau, jika presiden FAM dan semua exco benar-benar mempunyai kepentingan dan niat yang baik untuk meningkatkan bola sepak Malaysia mereka harus melakukan sesuatu mengenainya.
Tambah Alfadli, tiada fungsi sekiranya boikot untuk mengurangkan pendapatan persatuan kerana pendapatan mereka bukan bukan bergantung hasil kutipan tiket semata-mata.
"Jika boikot juga, mereka yang memperoleh tiket percuma atau pas percuma pasti yang hadir untuk menonton perlawanan.
"Tetapi harus diperhalusi secara terperinci dahulu apa motif dan objektif tindakan memboikot tersebut," katanya yang dikenali sebagai Rambo di kalangan ahli Ultras Malaya.

