Gesaan TMJ tak berasas, kata FAM
Gesaan Tunku Mahkota Johor (TMJ) supaya FAM disiasat oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa) kerana didakwa gagal menangani rasuah dan menyimpan pendapatan hasil hak penyiaran, tidak berasas.
Setiausaha Agung FAM Datuk Hamidin Mohd Amin berkata, FAM telah menjalani program penambahbaikan dalam aspek pentadbiran dan pengurusan termasuk pengurusan kewangan.
Ini, katanya, dengan mengambil kira usaha mengoptimumkan peluang komersial yang juga merupakan intipati utama dalam Program Prestasi Fifa.
"Program selama tiga tahun ini sudah pun dijalankan di FAM sejak dari tahun lalu dan pihak juruaudit dari Fifa telah beberapa kali datang ke Wisma FAM untuk menganalisis sistem operasi dan pengurusan kewangan FAM.
“Bukannya bagi mencari salah dan silap sebaliknya melihat mana-mana ruang yang perlu diperbaiki,” katanya mengulas gesaan Tunku Ismail Sultan Ibrahim ( gambar ) itu.
Hamidin berkata wakil-wakil juruaudit Fifa itu terdiri daripada Perunding Program Prestasi Fifa Anter Issac, Perunding Program Win-Win Fifa Christophe Rousseau dan Pegawai Pembangunan Fifa Sujit Manjuran.
Dalam kenyataan hari ini, Hamidin berkata respon diterima daripada juruaudit berkenaan mendapati mereka berpuas hati dengan segala aspek yang dinilai.
"Di samping itu, FAM sendiri juga ada melantik juruaudit dalaman dan juruaudit luar untuk urusan pemeriksaan rekod kewangan persatuan,” jelas beliau.
"Andai ada sesuatu dilakukan FAM yang tidak sesuai dengan amalan biasa, sudah pasti Fifa secara jelas boleh mengambil tindakan terhadap FAM kerana pihak persatuan sentiasa membuka pintu kepada mereka untuk melakukan penilaian.”
Polis, SPRM dalam jawatankuasa
Terdahulu, dalam temuramah bersama Reuters, Tunku Ismail berkata, FAM juga wajar bertanggungjawab terhadap kejatuhan ranking skuad kebangsaan ke tangga ke-171 selepas dibelasah 10-0 oleh Emiriah Arab Bersatu (UAE), bulan lalu.
Tambah Hamidin, isu rasuah yang didakwa menyelubungi FAM sebagai badan bola sepak induk negara sentiasa dipandang serius oleh persatuan itu.
Beliau berkata, pihaknya menubuhkan Jawatankuasa Integriti FAM sejak tahun 2010 dan turut mewajibkan setiap persatuan bola sepak negeri menubuhkan jawatankuasa itu pada tahun 2013.
Menurutnya, jawatankuasa itu kini dipengerusikan oleh Tan Sri Aseh Che Mat itu turut dianggotai individu-individu termasuk wakil polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
"Jawatankuasa ini bertanggungjawab menapis, memeriksa pemain asing dan juga memantau liga, pemain dan pegawai bagi menghindar gejala-gejala yang tidak sihat di dalam permainan bola sepak seperti rasuah dan menentukan keputusan perlawanan," katanya.

